LONDON, 26 JAN – Perdana Menteri British, Boris Johnson dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah membincangkan keselamatan telekomunikasi ketika UK bersiap sedia untuk memutuskan sama ada membenarkan gergasi teknologi China, Huawei untuk membina aspek rangkaian mudah alih berkelajuan tinggi baharu.
AS mendesak Britain dan rakan sekutu lain untuk melarang Huawei daripada membuat bahagian rangkaian 5Gnya. Pentadbiran Amerika mendakwa ia akan menjadi risiko keselamatan – satu dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Huawei
Kerjasama untuk memastikan keselamatan rangkaian telekomunikasi dibincangkan dalam panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin Jumaat lalu, kerajaan British berkata dalam satu kenyataan di tengah laporan bahawa pegawai UK telah menyokong firma itu untuk memainkan peranan.
Majlis keselamatan negara Britain dijangka membuat keputusan pada minggu depan.
Huawei adalah pembuat peralatan pertukaran untuk syarikat telefon dan internet. Tetapi ia telah menghadapi pengawasan daripada dakwaan AS bahawa ia boleh dipaksa oleh kerajaan China untuk menyediakan akses kepada data pengguna dalam rangkaiannya.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dan ketua Perbendaharaan UK, Sajid Javid dijangkakan membincangkan perkara ini pada hujung minggu. Mnuchin berada di UK berikutan Sidang Kemuncak Forum Ekonomi empat hari di Davos, Switzerland. – AP
