Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin ASEAN bincang strategi tangani COVID-19

    HANOI, 14 APRIL – Pemimpin-pemipin Asia Tenggara memberi amaran mengenai kos ekonomi akibat koronavirus yang telah menjejaskan pelbagai negara pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai COVID-19 yang diadakan hari ini menerusi persidangan video, menyeru agar laluan perdagangan dibuka semula untuk melindungi pekerjaan dan bekalan makanan, serta penyimpanan peralatan perubatan.

    Vietnam – yang mempengerusikan mesyuarat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) – menggesa para pemimpin untuk menubuhkan dana kecemasan untuk menangani pandemik selepas virus tersebut menjejaskan ekonomi pelancongan dan eksport serantau.

    Dalam ucapan pembukaan melalui persidangan video, Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc memuji tindakan ASEAN dalam memerangi virus setakat ini.

    Tetapi dia memberi amaran bahawa virus “telah memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat, keadaan sosio-ekonomi mereka… mencabar kestabilan dan keselamatan sosial.”

    Vietnam setakat ini berjaya menangani wabak virus berkenaan dengan melakukan arahan kuarantin secara lebih ketat dan mengamalkan penjarakan sosial.

    Pemimpin-pemimpin dari negara-negara ASEAN ketika mengadakan persidangan video bagi membincangkan krisis COVID-19, kelmarin. – AFP

    Ia telah mencatatkan 265 jangkitan dan tiada kematian, manakala Thailand secara rasmi mengekalkan jumlah yang rendah dengan hanya lebih 2,500 kes dan 40 kematian.

    Keadaan ini berbeza-berbeza di pelbagai negara di seluruh rantau ini, dengan kebimbangan bahawa ujian terhad di Indonesia telah menyebabkan risiko jangkitan virus tersebut meningkat, di mana setakat ini negara dengan 260 juta penduduk itu mencatatkan 400 kematian.

    Begitu juga, sistem kesihatan dari Myanmar ke Laos juga bergelut dengan ketidakpastian terhadap ujian sebenar jangkitan terhadap virus berkenaan, manakala peningkatan baru-baru ini dalam kes COVID-19 di Singapura telah menimbulkan kebimbangan mengenai jangkitan semula di tempat-tempat yang telah dilanda wabak sebelumnya.

    Vietnam mengadakan persidangan video bersama 10 anggota negara ASEAN bagi mencadangkan pembiayaan untuk menangani pandemik, memperuntukan stok simpanan perubatan kecemasan dan berkongsi sumber.

    Malaysia dan Filipina mengatakan mereka akan menyokong dana respons, dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberi amaran bahawa dia ‘mengutamakan aspek keselamatan makanan.’

    Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pula menyuarakan kebimbangannya terhadap penularan virus dengan mendesak pemimpin rantau ini untuk bekerjasama bagi mengekalkan laluan perdagangan dan membuka laluan bagi bekalan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda