Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pemimpin ASEAN ucap takziah

    KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili seluruh Keluarga Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat Diraja, kerajaan dan rakyat United Kingdom (UK) atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

    Beliau berkata Baginda yang juga Raja Britain paling lama menduduki takhta, terkenal dengan sifat dedikasi dalam menjaga kebajikan rakyatnya.

    Menerusi catatan di Facebooknya, perdana menteri berkata jasa baginda mengekalkan hubungan baik United Kingdom dan negara-negara seluruh dunia termasuk Malaysia sentiasa diingati dan dihargai.

    “Saya berharap keluarga Diraja baginda dan rakyat terus tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

    Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini menyampaikan ucapan takziah atas kemangkatan baginda.

    Bunga-bunga diletakkan di luar Istana Windsor, barat London, selepas Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun. – AFP

    “Kami amat berdukacita atas kemangkatan Ratu Elizabeth II. Baginda adalah jiwa UK,” tulis Lee dalam kemas kini terbarunya di Facebook.

    Lee berkata pemerintahan baginda menyaksikan satu tempoh keamanan dan kemakmuran terpanjang dalam sejarah UK.

    Kerajaan Thailand dan rakyatnya turut merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan baginda. Pemangku Perdana Menteri Prawit Wongsuwan mewakili pihak Kerajaan Thailand dan rakyat, menzahirkan ucapan takziah kepada Perdana Menteri UK, Liz Truss.

    Presiden Indonesia, Joko Widodo, menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada kerabat diraja, kerajaan dan rakyat UK atas kemangkatan Baginda.

    “Saya amat berdukacita dengan kemangkatan Baginda, seorang ratu yang dikagumi dan disayangi ramai,” kata Presiden Jokowi, hari ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...