Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin baharu Syria tolak pemulihan hubungan dengan Israel

    NEW YORK, 23 SEPT – Pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, yang melawat New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)kelmarin, menyuarakan harapan untuk mencapai perjanjian keselamatan bagi meredakan ketegangan dengan Israel tetapi tidak mengutamakan prospek pengiktirafan rasmi.

    Sharaa telah bertemu dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan dijadual menyampaikan ucapan pertama oleh seorang pemimpin Syria di Perhimpunan Agung dalam beberapa dekad.

    Pegawai Syria menyasarkan untuk mencapai perjanjian ketenteraan dan keselamatan dengan Israel menjelang akhir tahun ini. Tentera Israel berulang kali menyerang negara jirannya itu, yang juga musuh lama, selepas kejatuhan Assad.

    “Saya berharap ini akan membawa kita kepada perjanjian yang mengekalkan kedaulatan Syria serta menyelesaikan beberapa kebimbangan keselamatan Israel,” kata Sharaa pada Sidang Kemuncak Concordia di sebuah hotel New York di luar sidang PBB.

    Namun, beliau menolak apabila ditanya sama ada Syria akan menyertai apa yang digelar sebagai Abraham Accords, iaitu perjanjian di mana Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Maghribi memulihkan hubungan dengan Israel pada 2020.

    Beliau turut menyatakan keraguan untuk mempercayai Israel, mempersoalkan sama ada ia berniat untuk mengembangkan pengaruh di Syria serta menuduh Israel melanggar perjanjian damai dengan dua jirannya, Mesir dan Jordan.

    Di samping itu, Rubio, dalam pertemuannya dengan Sharaa, turut membincangkan hubungan Syria dengan Israel dan menyeru negara itu merebut peluang untuk ‘membina sebuah negara yang stabil dan berdaulat,’ kata jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott. – AFP

    Ahmed al-Sharaa (kiri) semasa membuat perjumpaan dengan Marco Rubio di Hotel Lotte New York Palace, New York pada 22 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda