Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Pemimpin belia merupakan ‘qudwah’ kepada yang lain, apa lagi jika menggunakan pendekatan ‘Walk the talk’ kerana percakapan jika tidak mampu membawa perubahan, melainkan keperibadian baik itu sendiri.
Pemimpin belia juga harus mempunyai rasa kasih terhadap sesama saudara Islam, berbuat baik dengan kawan, suka bergaul dengan kawan baharu, berbuat baik dan hormat kepada ibu bapa dan orang yang lebih tua dengan harapan mendapatkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT.
Kepimpinan belia itu merupakan antara pengisian tazkirah yang disampaikan oleh da’ie dari Republik Singapura, Aydarus Al-Habsyi pada Majlis Tazkirah dan Makan Malam di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas sempena Konvensyen Kepimpinan Belia Islam kelmarin.
Tazkirah merupakan salah satu daripada pengisian konvensyen dianjurkan sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang berakhir kelmarin.
Majlis tazkirah dan makan malam itu dihadiri oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, pegawai-pegawai kanan KHEU dan peserta konvensyen.
Konvensyen bertemakan ‘Belia Holistik Harapan Negara’ itu dihadiri peserta dari kumpulan belia yang bernaung di bawah entiti KHEU, persatuan belia, institusi pengajian tinggi dan perwakilan negara anggota MABIMS serta orang ramai.
Ia merupakan wacana atau platform intelek bertujuan menghimpunkan belia-belia Islam untuk bergabung tenaga menyumbang fikiran ke arah menghasilkan satu resolusi bagi penambahbaikan khususnya berkaitan pergerakan aktiviti belia dalam bidang keagamaan di rantau ini.
