Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin berkualiti pemacu pendidikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Bagi menghasilkan pemimpin dan pendidikan berkualiti ber-asaskan Standard Kepimpinan Sekolah Brunei Darussalam (BDSLS), pemimpin-pemimpin sekolah harus dilengkapkan dengan kompetensi yang diperlukan untuk memastikan mereka bersedia dan disokong dengan baik.

    Dengan kompetensi berkenaan, negara akan mempunyai para pemimpin berkualiti yang mampu memandu sistem pendidikan ke arah kualiti pendidikan yang dihasratkan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Dr Hajah Zurina binti Haji Harun dalam kata alu-aluannya di Konvensyen Pemimpin Sekolah 2019 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian konvensyen berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee, pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

    Dr Hajah Zurina semasa menyampaikan kata alu-aluannya di Konvensyen Pemimpin Sekolah 2019 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD.
    Antara yang hadir pada majlis berkenaan, kelmarin.

    Dr Hajah Zurina dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan konvensyen yang julung-julung kali diadakan oleh Kementerian Pendidikan dan dikendalikan bersama oleh Jabatan Sekolah-sekolah dan Bahagian Perkembangan Sumber Tenaga Manusia, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama jabatan-jabatan, bahagian-bahagian dan unit-unit di bawah Kementerian Pendidikan, dihasratkan untuk membolehkan para pemimpin sekolah menyertai dan terlibat dalam dialog yang bermanfaat ke arah pembangunan budaya yang dipacu oleh prestasi untuk pembangunan dan kejayaan semua sekolah di negara ini.

    Konvensyen itu, ulasnya, merupakan platform bagi melengkapkan pemimpin-pemimpin sekolah seluruh negara dengan maklumat yang relevan untuk menyokong Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018-2022 dan pada masa yang sama menyokong Wawasan Brunei 2035.

    Beliau seterusnya menyeru para pemimpin sekolah untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan yang diadakan, membuka minda berwawasan mereka serta mencabar pemikiran kritikal dan lateral agar mampu mengemukakan set kompetensi yang berguna.

    Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyempurnakan perasmian persidangan dan melancarkan serta mengagihkan Buku Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018-2022.

    Konvensyen yang membawa tema, ‘Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti’ disertai oleh lebih 400 orang peserta yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, bahagian dan unit di bawah Kementerian Pendidikan serta pemimpin-pemimpin sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), institusi pengajian tinggi serta institusi pendidikan swasta.

    Semasa konvensyen dua hari yang bermula hari ini hingga 27 Februari itu, para peserta mengambil bahagian dalam beberapa komponen yang telah diatur sebagai perisian konvensyen termasuk sosialisasi mengenai Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018-2022, forum mengenai inisiatif-inisiatif jabatan, bahagian dan unit di bawah Kementerian Pendidikan, Bengkel Kompetensi Pemimpin Sekolah serta penyampaian insentif sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda