KUALA LUMPUR, 15 JUN – Persidangan Energy Asia 2025 bertemakan Delivering Asia’s Energy pada 16 hingga 18 Jun 2025 akan menjadi platform tepat bagi Malaysia dan rantau ini menilai kemajuan mencapai matlamat peralihan tenaga serta memperkukuh komitmen negara ke arah sasaran pelepasan karbon sifar bersih.
Penganjuran acara itu juga dilihat sebagai wajar di tengah-tengah persimpangan antara pempelbagaian ekonomi dan pembangunan mampan ketika negara-negara beralih daripada minyak kepada tenaga boleh baharu (TBB) serta mengguna pakai teknologi baharu seperti hidrogen dan penangkapan karbon.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama dan merasmikan acara yang bakal menampilkan 180 penceramah terkemuka dari seluruh dunia selain menarik kehadiran lebih 4,000 delegasi, termasuk kalangan penggubal dasar, profesional tenaga serta pemimpin industri.
Antara agenda utama persidangan adalah sesi pleno bertajuk Energy Present, Energy Future: Pathways for Asia’s Just Transition dan diikuti dengan dialog kepimpinan Energy at the Crossroads: Policies, Technologies and Investments.
Turut diadakan adalah sesi pertemuan tertutup ketua pegawai eksekutif global dan pemimpin peringkat tertinggi sektor-sektor utama seperti minyak dan gas, tenaga, teknologi, kewangan dan perkhidmatan profesional.
Ini bagi merangka laluan kolektif yang dapat merangsang pelaburan, mengukuhkan penyelarasan dan mempercepat penggunaan teknologi bagi memacu peralihan tenaga di Asia.
Kehadiran barisan menteri kanan dan tokoh korporat ini juga bagi perbincangan isu utama tenaga di Asia yang merangkumi tujuh tema utama: geopolitik, strategi pasaran, peralihan tenaga elektrik, teknologi dan inovasi, pasaran modal, kemampanan dan pembangunan bakat. – Bernama


