Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 20 JULAI – Pemimpin dan ahli dari Persatuan Pengakap Daerah Belait (PPDB) telah menyertai beberapa persembahan dan nyanyian di pentas Tudung Saji, Kuala Belait, kelmarin.
Persembahan itu diadakan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan turut menyertai salah satu persembahan tersebut ialah Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Awang Mohamad Hatta bin Haji Suhaili.
Antara kumpulan pengakap yang turun padang bagi membuat persembahan itu ialah dari Persatuan Baden Powell (BP), Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, Sekolah St James, Sekolah St Margaret, Sekolah Arab Belait, Sekolah Menengah Perdana Wazir, dan Sekolah Tunas Jaya PGGMB Kuala Belait.
Persembahan itu diadakan setiap malam, dengan menampilkan persembahan berbeza oleh pelbagai kumpulan dan agensi sehingga akhir bulan ini.


