Pemimpin dunia dijemput hadiri perarakan tentera Rusia

MOSCOW, 28 MEI – Rusia sedang menyelaras dengan negara-negara termasuk Perancis untuk menjemput pemimpin mereka untuk menghadiri perarakan tentera besar-besaran di Moscow pada 24 Jun, kata Kremlin hari ini.

Presiden Vladimir Putin pada Selasa mengumumkan perarakan tahunan Hari Kemenangan 9 Mei akan diadakan pada Jun selepas menunda acara tersebut pada bulan lalu untuk mengekang penularan koronavirus.

Beliau berkata acara itu masih boleh dijadual semula disebabkan Rusia telah melepasi kemuncak pandemik.

Tarikh baharu pada 24 Jun adalah 75 tahun selepas perarakan kemenangan pertama di Dataran Merah berikutan penyerahan Jerman kepada komander Soviet pada 9 Mei.

“Masa agak suntuk untuk mengumpul jadual pemimpin antarabangsa,” beritahu jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada wartawan, berkata jemputan akan ‘diselaras berdasarkan kes individu.”

“Ia akan diselaras secara individu dengan setiap negara,” kata beliau, menambah Moscow telah pun berhubung dengan Perancis.

Peskov berkata jemputan ke beberapa negara bekas Soviet sedang diperbaharui dan Kyrgyzstan pada hari ini mengesahkan presidennya akan hadir, lapor agensi berita TASS. – AFP

Presiden Vladimir Putin semasa mesyuarat telesidang bersama datuk bandar Moscow Sergei Sobyanin di kediaman Novo-Ogaryovo di luar Moscow, Rusia. Vladimir Putin pada Selasa mengumumkan perarakan tahunan Hari Kemenangan 9 Mei akan diadakan pada Jun. – AP