GLASGOW, 2 NOV – Para pemimpin dunia pada sidang kemuncak iklim COP26, hari ini dijangka mengeluarkan ikrar untuk menamatkan penebangan hutan menjelang tahun 2030.
Menurut kerajaan Britain selaku tuan rumah persidangan tersebut, ikrar berkenaan disokong dana awam dan swasta bernilai hampir AS$20 bilion.
Malah, ia turut disokong lebih 100 pemimpin negara yang mewakili lebih 85 peratus kawasan hutan seluruh dunia, termasuk Hutan Hujan Amazon dan Hutan Hujan Lembangan Congo.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata langkah itu amat pen-ting bagi mencapai matlamat Perjanjian Paris untuk mengehadkan kenaikan suhu kepada 1.5 darjah Celsius.
Menurut Downing Street, Johnson dijangka menegaskan ekosistem hebat yang menjadi tunjang alam itu, adalah ‘paru-paru’ kepada planet ini.
“Hutan menyokong komuniti, kehidupan dan bekalan makanan, serta menyerap gas karbon yang kita lepaskan ke udara. Ia penting untuk kehidupan.
“Dengan ikrar ini, kita akan berpeluang menamatkan sejarah panjang manusia menjadi penakluk alam, dan sebaliknya memainkan peranan sebagai penjaga alam,” kata Johnson yang mempengerusikan sidang kemuncak kali ini. Penanda tangan ikrar itu meliputi Brazil, Russia, Amerika Syarikat (AS), China, Australia dan Perancis.
Presiden Indonesia, Jokowi, berkata hutan hujan, hutan bakau, laut dan tanah gambut di negara yang kaya dengan sumber alam itu, adalah kunci untuk mengekang perubahan iklim.– AFP
