Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin dunia sampaikan ucapan takziah pemergian Presiden Raisi

    NEW DELHI, 20 MEI – Pemimpin dunia menyampaikan ucapan takziah dan menzahirkan kesedihan mereka atas pemergian Presiden Iran Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter di barat laut Iran, kelmarin.

    Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dalam ucapan takziahnya, mengumumkan hari berkabung selepas Iran mengesahkan kematian Raisi, 63, Menteri Luar Hossein Amir Abdollahian dan pegawai-pegawai lain dalam nahas itu.

    Pakistan berbesar hati dapat menerima kunjungan Presiden Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir Abdollahian dalam lawatan bersejarah kurang sebulan lepas. Mereka adalah sahabat baik Pakistan,” katanya.

    Perdana Menteri India Narendra Modi dalam mesej takziahnya mengingati sumbangan Allahyarham Presiden dalam memperkukuhkan hubungan India-Iran.

    Kedutaan Iran di New Delhi menggambarkan Raisi sebagai ‘penyokong orang-orang tertindas di dunia’.

    Gambar AFP

    Tragedi ini turut diratapi di Maldives dan seluruh Asia Selatan.

    Menteri Luar Maldives, Moosa Zameer, berkata Raisi adalah ‘seorang pemimpin berdedikasi yang akan diingati kerana kebijaksanaannya dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk kemajuan Iran dan rakyatnya’ dan memanggil Abdollahian ‘penyokong setia hubungan baharu antara Maldives dan Iran’. Menteri Luar Sri Lanka, Ali Sabry, meluahkan rasa terkejutnya mengenai insiden itu.

    Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat dan Kerajaan Iran dalam hantarannya di X.

    Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, dalam satu hantaran di X berkata, “EU menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Presiden Raisi dan Menteri Luar Abdollahian, serta anggota delegasi dan kru mereka dalam kemalangan helikopter. Ingatan kami bersama keluarga mereka”. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda