KUALA LUMPUR, 29 Mac – Pemimpin Ernst & Young (EY) akan memacu perbincangan penting menumpukan tema ‘Pemecutan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) di Malaysia’ semasa Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kepimpinan Perdana 2019 pada 4 April ini.
Dalam kenyataan hari ini, E&Y berkata lebih 30 pemimpin perniagaan dan industri, pemikir strategik dan pegawai kanan kerajaan akan berkongsi pandangan dan wacana mereka serta bersama-sama audiens dalam sembilan sesi pleno dan serentak.
“Barisan penceramah dan topik yang meluas ini bertujuan memberi inspirasi bagi mewujudkan dialog yang aktif dan merangsang fikiran mengenai cabaran, peluang dan pencapaian utama dalam suasana IR4.0 selain hala tuju masa depan bagi perniagaan yang ingin berkembang dalam era transformasi ini,” menurut E&Y.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama penutup forum itu mengenai topik ‘Malaysia Inc 2.0: Kerajaan dan Perniagaan Memacu Pertumbuhan Pembangunan’.
Acara ini akan berlangsung di Berjaya Times Square Hotel di sini. – Bernama