MANILA, 11 FEB – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, kelmarin berterima kasih kepada Raja Kemboja kerana memberikan pengampunan diraja tahun lalu kepada 13 wanita Filipina yang disabitkan bersalah berkhidmat secara haram sebagai ibu tumpang di negara Asia Tenggara itu.
Marcos menzahirkan rasa terima kasihnya dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, yang melawat Manila untuk perbincangan mengenai perluasan hubungan perdagangan, pertanian, pelancongan, kebudayaan dan keselamatan.
Filipina dan Kemboja kedua-duanya tergolong dalam 10 negara ASEAN, sebuah blok serantau yang menggalakkan integrasi ekonomi tetapi berpecah-belah dalam isu lain, juga merupakan negara yang mempunyai hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) atau China.
Marcos telah mengukuhkan pakatan perjanjian negaranya dengan AS untuk meningkatkan pertahanan luar Filipina ketika ia berhadapan dengan tindakan China di Laut China Selatan yang dipertikaikan.
Manakala Kemboja pula telah lama dikenali sebagai penyokong utama China di rantau ini.
Seramai 13 wanita Filipina itu disabitkan Disember lalu di Kemboja atas tuduhan berkaitan pemerdagangan manusia kerana bertindak sebagai pengganti bagi sindiket jenayah menjual anak damit kepada warga asing untuk mendapatkan wang tunai.
Wanita-wanita tersebut, yang berada dalam pelbagai peringkat kehamilan, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh mahkamah Kemboja, tetapi terhindar daripada dipenjarakan dan sebaliknya dipulangkan ke Filipina di bawah pengampunan diraja yang diberikan oleh Raja Kemboja, Norodom Sihamoni.
“Kami tidak akan pernah melupakan tindakan mulia daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini, bukti hubungan kukuh antara kedua-dua negara,” kata Marcos sebelum pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri Kemboja dan delegasinya di Manila.
“Kami akan terus berdiri bersama mereka dalam memerangi jenayah rentas sempadan dan kesan buruknya terhadap rakyat dan masyarakat kami,” kata Marcos. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P11-5E-Envato_12022025.jpg)