Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin global desak perjanjian pandemik baharu

    GENEVA, 30 MAC – Pemimpin dunia hari ini mendesak perjanjian antarabangsa baharu dicapai supaya mempersiapkan dunia menangani pandemik masa depan dengan lebih baik dan mengelak pergelutan mendapatkan vaksin yang menjejas respons COVID-19.

    Pemimpin dari 25 negara, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha mengeluarkan peraturan secara bertulis untuk memperkemas dan mempercepat reaksi terhadap wabak global pada masa akan datang.

    Perjanjian itu bertujuan memastikan maklumat, patogen virus, teknologi untuk menangani pandemik dan produk seperti vaksin dikongsi dengan segera dan saksama di kalangan negara.

    “Sudah tiba masanya untuk bertindak. Dunia tidak boleh menunggu sehingga pandemik berakhir untuk mula merancang wabak seterusnya,” beritahu ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media maya.

    Tanpa pelan respons pandemik yang diselaras antarabangsa, ‘kita masih mudah terdedah kepada risiko,’ beliau mengingatkan.

    Gesaan tersebut keluar dalam satu artikel bersama yang disiarkan dalam akhbar antarabangsa hari ini, ditulis oleh pemimpin dari lima benua.

    Penandatanganan termasuk pemimpin Jerman Angela Merkel, Perdana Menteri Britain Boris Johnson, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

    “Negara-negara harus bekerjasama ke arah pemeteraian perjanjian antarabangsa baharu untuk meningkatkan kesiapsiagaan respons pandemik,” menurut artikel.

    “Kami mesti mempunyai persediaan lebih baik untuk meramal, mencegah, menilai dan bertindak secara efektif terhadap pandemik dalam cara yang amat teratur. – AFP

    Presiden Majlis Eropah Charles Michel bercakap semasa sidang media bersama Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus di ibu pejabat Majlis Eropah di Brussels kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda