PARIS, 10 FEB – Pemimpin dunia, ketua syarikat teknologi, ahli akademik dan pakar lain akan berhimpun di Paris hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak selama dua hari mengenai ancaman dan potensi kecerdasan buatan (AI), lapor agensi berita Jerman (dpa).
Mereka akan membincangkan kesan teknologi yang semakin berkembang terhadap masyarakat, termasuk aplikasi AI dalam bidang kesihatan, pendidikan dan pekerjaan, selain aspek peraturan serta penggunaannya secara bertanggungjawab.
Sidang kemuncak itu menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta dari 100 negara serta merupakan kesinambungan daripada dua sidang AI global sebelum ini, iaitu di United Kingdom pada 2023 dan Korea Selatan pada tahun lepas.
Antara pemimpin politik yang mengambil bahagian kali ini ialah Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance; Perdana Menteri India, Narendra Modi; Canselor Jerman, Olaf Scholz serta Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.
Dalam kalangan pemimpin industri teknologi, beberapa nama besar dijangka hadir termasuk ketua eksekutif Microsoft, OpenAI dan Google.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata beliau mahu menjadikan negaranya sebagai peneraju dalam bidang AI menerusi sidang kemuncak itu.
“Perancis adalah negara terkemuka di Eropah dalam bidang kecerdasan buatan,” katanya dalam temu bual bersama akhbar Le Parisien hujung minggu lalu.
Mengenai peraturan AI, Macron menyatakan hasratnya untuk mencari jalan tengah.
“Terdapat risiko bahawa sesetengah negara mungkin tidak menetapkan sebarang peraturan, tetapi pada masa sama, Eropah pula mungkin menetapkan terlalu banyak peraturan sehingga menyisihkan diri dan akhirnya kehilangan daya inovasi. Kita mesti mengekalkan keseimbangan ini,” katanya. – Bernama/dpa
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/4-Paris_f.jpg)