NEW DELHI, 30 Okt – Pemimpin India dan Itali hari ini mengadakan rundingan dan menandatangani beberapa perjanjian yang menandakan hubungan yang semakin baik antara kedua-duanya susulan penembakan membawa maut pada 2012 ke atas dua orang nelayan India oleh marin Itali yang menganggap mereka sebagai lanun.
Rundingan antara Perdana Menteri Itali Paolo Gentiloni dan rakan sejawat India, Narendra Modi meliputi sejumlah besar topik, termasuklah cara untuk mengukuhkan hubungan dua hala ekonomi dan politik.
Pegawai dari kedua-dua belah pihak menandatangani enam perjanjian untuk mempertingkatkan keselamatan, perdagangan dan kerjasama dua hala dalam teknologi kereta api. Ia juga meliputi keselamatan siber dan ancaman oleh keganasan antarabangsa, menurut pegawai India.
Dengan lawatan Gentiloni itu, India dan Itali sudah pun mengetepikan hubungan tegang mereka dalam masa lima tahun lalu.

Sejurus selepas insiden 2012 itu, India memberkas dua marin Itali kerana membunuh dua orang nelayan dalam perairan India semasa mereka diberi tugasan antipelanunan di atas sebuah kapal komersial Itali. Itali mengatakan marin itu menganggap nelayan-nelayan itu sebagai lanun.
Kedua-dua negara tidak menyetujui fakta pembunuhan nelayan dan siapa yang mempunyai bidang kuasa dalam kes tersebut.
Dua marin Itali masih menunggu keputusan, dijangka pada 2018 dalam mahkamah perantaraan di The Hague sama ada perbicaraan mereka akan diadakan di Itali tau India. – AP