BOGOR, 12 FEB – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia, Prabowo Subianto, hari ini untuk perbincangan yang bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi dan pertahanan antara dua negara majoriti Islam itu.
Kedua-dua negara tersebut mengadakan sidang kemuncak Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi pertama mereka selepas bersetuju untuk mewujudkan forum itu pada mesyuarat di Bali pada 2022.
Lawatan Erdogan ke Indonesia, negara dengan majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia dan ekonomi terbesar di Asia Tenggara, merupakan persinggahan kedua beliau dalam lawatan empat hari yang turut merangkumi Malaysia dan Pakistan.
“Mesyuarat ini merupakan forum dua hala tetap tertinggi antara kedua-dua negara di mana semua perkara kepentingan bersama akan dibincangkan, termasuk isu strategik dan keutamaan,” kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Rolliansyah Soemirat, menjelang lawatan itu.
Dalam satu kenyataan, Turkiye berkata perbincangan akan tertumpu kepada isu serantau dan global semasa, khususnya perang di Gaza.
Pemimpin Turkiye itu bertemu Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, Isnin lalu dan mengulangi bantahannya terhadap cadangan Amerika Syarikat untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan berkata Israel harus membayar untuk pembinaan semula wilayah itu.
“Kami tidak bersetuju cadangan untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah yang mereka diami selama beribu-ribu tahun sebagai sesuatu yang perlu diambil serius,” kata Erdogan.
Erdogan dan isterinya, Wanita Pertama Emine Erdogan, tiba di Jakarta kelmarin dan dialu-alukan oleh Subianto di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma.
Indonesia dan Turkiye telah membina hubungan yang semakin rapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan kedua-dua pemimpin itu sebelum ini bertemu di Ankara Julai lalu ketika Subianto masih menjadi Presiden dan Menteri Pertahanan. Subianto berjanji untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dan dalam bidang strategik lain untuk kepentingan bersama. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P11-1A_13022025.jpg)