Tuesday, February 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin Jerman ikrar tidak terlalu bergantung kepada AS

    BERLIN, 24 FEB – Pemimpin konservatif Jerman, Friedrich Merz mengkritik keras pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hanya beberapa jam selepas kemenangannya dalam pilihan raya kelmarin, dengan menegaskan bahawa keutamaannya adalah mengukuhkan Eropah dan mengurangkan kebergantungan kepada AS, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Dalam temu bual yang disiarkan di televisyen, Merz menyatakan kritikan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap AS, khususnya berhubung kenyataan Presiden Donald Trump baru-baru ini.

    “Keutamaan mutlak saya adalah untuk mengukuhkan Eropah secepat mungkin supaya kita dapat mencapai, langkah demi langkah, tidak terlalu bergantung kepada AS,” katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak pernah menyangka sehingga baru-baru ini perlu membuat kenyataan sedemikian dalam satu rancangan televisyen.

    “Namun, terutama sekali selepas kenyataan Donald Trump minggu lepas, jelas bahawa rakyat Amerika – sekurang-kurangnya sebahagian daripada Amerika ini, khususnya pentadbiran ini – sebahagian besarnya tidak peduli terhadap nasib Eropah,” katanya.

    Merz turut menyuarakan ketidakpastian terhadap masa depan NATO menjelang sidang kemuncaknya pada Jun.

    Friedrich Merz semasa berucap kepada penyokong selepas keputusan awal keluar diumumkan di televisyen semasa malam pengundian pilihan raya Jerman pada 23 Februari, di Berlin. – AFP

    “Saya sangat ingin tahu bagaimana kita akan menuju ke Sidang Kemuncak NATO pada akhir Jun, sama ada kita masih akan bercakap mengenai NATO dalam bentuknya sekarang atau perlu mewujudkan keupayaan pertahanan Eropah yang bebas dengan lebih cepat,” katanya.

    Merz juga membandingkan campur tangan dari Washington dan Moscow dalam hal ehwal Eropah, khususnya dengan merujuk kepada campur tangan baru-baru ini oleh Elon Musk, yang merupakan sekutu rapat Trump, dalam kempen pilihan raya Jerman.

    “Campur tangan dari Washington tidak kurang dramatik, drastik dan akhirnya keterlaluan berbanding campur tangan yang kita lihat dari Moscow,” katanya.

    “Kami berada di bawah tekanan besar daripada dua pihak sehingga keutamaan mutlak saya sekarang adalah mewujudkan perpaduan di Eropah.”

    Pada petang kelmarin, Merz mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya parlimen Jerman selepas parti gabungan pimpinannya, Kesatuan Demokratik Kristian/Kesatuan Sosial Kristian (CDU/CSU), memperoleh hampir 28.5 peratus undi, mendahului parti lain dengan kelebihan yang jelas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda