Thursday, March 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin junta Myanmar tidak dijemput ke sidang kemuncak ASEAN

    PHNOM PENH, 5 OKT – Pemimpin junta Myanmar tidak dijemput ke acara sidang kemuncak Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) bulan depan, kata tuan rumah, Kemboja hari ini.

    Perkembangan itu dianggap suatu penghinaan buat kepimpinan Myanmar ketika ASEAN mengetuai usaha diplomatik untuk menyelesaikan kemelut yang mencengkam negara berkenaan sejak tentera merampas kuasa tahun lalu.

    Namun hanya berlaku perkembangan kecil berhubung ‘konsensus lima perkara’ yang dipersetujui bersama junta dengan pemimpin dan menteri junta tidak menyertai mesyuarat baru-baru ini membabitkan 10 anggota blok serantau itu.

    Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Kemboja memaklumkan, pentadbiran junta hanya dijemput untuk mencalonkan wakil bukan politik bagi sidang kemuncak ASEAN akan datang.

    Ia bermakna ketua junta, Min Aung Hlaing, tidak akan dibenarkan menyertai sidang kemuncak itu seperti mana diplomat tertingginya yang dihalang daripada pertemuan barisan menteri luar di Phnom Penh pada Februari dan Ogos lalu.

    Melalui konsensus yang dipersetujui April tahun lalu, ia menggesa menghentikan keganasan di Myanmar dan dialog antara tentera serta antirampasan kuasa.

    Mesyuarat menteri luar ASEAN pada Ogos turut berakhir dengan kecaman terhadap tindakan junta itu.

    Barisan menteri juga mengakui berasa kecewa terhadap perkembangan yang perlahan dan kekurangan komitmen pihak berkuasa Naypyidaw terhadap pelaksanaan konsensus lima perkara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda