Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin komuniti rohingya maut ditembak

    DHAKA, 30 SEPT – Seorang pemimpin Rohingya terkenal maut akibat ditembak di sebuah kem pelarian di selatan Bangladesh pada Rabu malam.

    Ketua Persatuan Keamanan dan Hak Asasi Manusia Arakan Rohingya, Mohibullah ditembak di luar pejabatnya di kem Kutupalong di Cox’s Bazar, kata seorang saksi kepada agensi Anadolu. 

    “Tujuh atau lapan penyerang menembak Mohibullah di luar pejabatnya kira-kira 8:30 malam (1430GMT).

    “Tiga das tembakan mengenai dada Mohibullah. Kami bawa dia ke hospital dan Dr mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” kata saksi kejadian Mohammad Ahsan, seorang pelarian Rohingya.

    Penembak berjaya melarikan diri.

    Anggota penguatkuasa undang-undang mengawal kawasan di kem pelarian Kutupalong di Ukhia, sehari selepas seorang penyerang menembak mati Mohibullah, seorang ketua komuniti Rohingya di luar pejabatnya di kem pelarian itu, 30 September. – AFP

    Seorang lagi saksi yang enggan namanya disiarkan berkata Mohibullah baru-baru ini telah melaporkan kepada polis dan pihak berkuasa lain mengenai ancaman bunuh yang diterimanya.

    Mohibullah tokoh popular dalam kalangan lebih 1.1 juta pelarian Rohingya yang tinggal di Bangladesh, yang kebanyakannya melarikan diri daripada kekerasan tentera di Rakhine, Myanmar pada Ogos 2017.

    Kumpulan hak asasi antarabangsa mengecam pembunuhan itu dan meminta tindakan segera diambil  terhadap pelaku. “Mohibullah menjadi suara penting bagi masyarakat Rohingya yang telah menderita dan terpaksa menjadi pelarian di Bangladesh,” kata pengarah Human Rights Watch (HRW) Asia Selatan Meenakshi Ganguly.

    Dia berkata insiden pembunuhan itu tidak akan melemahkan perjuangan pelarian Rohingya bagi mendapatkan hak dan perlindungan serta usaha untuk kembali ke Myanmar dengan selamat.

    “Pihak berkuasa Bangladesh perlu segera menyiasat pembunuhan Mohibullah dan serangan lain terhadap aktivis Rohingya di kem itu,” kata Ganguly. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda