Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin Korea Selatan arah pengisytiharan segera zon bencana khas

    SEOUL, 20 JULAI – Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung hari ini mengarahkan kerajaan untuk mencari jalan bagi mengisytiharkan dengan segera kawasan yang terjejas teruk akibat hujan lebat baru-baru ini sebagai zon bencana khas, lapor agensi berita Yonhap yang memetik jurucakapnya.

    Lee juga menyeru agar tinjauan pantas dilakukan terhadap skala kerosakan akibat hujan dan tanah runtuh yang mula melanda negara itu sejak Rabu lalu, kata Kang Yu-jung dalam satu kenyataan kepada media.

    Zon bencana khas berhak menerima bantuan kerajaan bagi kerja pemulihan kerosakan dan bantuan kepada mangsa terjejas.

    Setakat 11 pagi, seramai 14 orang disahkan maut manakala 12 yang lain masih hilang akibat hujan lebat, menurut kerajaan dan Agensi Bomba Kebangsaan.

    Kerajaan turut menubuhkan pasukan sokongan pemulihan antara agensi hari ini.

    “Kementerian Dalam Negeri, kementerian lain yang berkaitan serta kerajaan tempatan yang terjejas akan menggerakkan sepenuhnya semua sumber yang ada dan melaksanakan kerja pemulihan kecemasan dengan segera,” kata Menteri Dalam Negeri Yun Ho-jung di bandar Sejong, sambil memaklumkan bahawa tumpuan kerajaan kini beralih daripada bertindak balas terhadap hujan kepada pemulihan kerosakan. – Bernama

    Gambar menunjukkan banjir telah memusnahkan kereta di jalan raya di sepanjang sungai akibat hujan lebat di daerah Gapyeong pada 20 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda