Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Golongan belia merupakan aset yang amat berharga dan tonggak masa depan negara sekali gus menjadi harapan bangsa dan negara, pewaris kesinambungan kepimpinan untuk mencorak masa hadapan.
Ini bertepatan dengan kenyataan bahawa maju dan mundurnya sesebuah negara itu bergantung kepada keupayaan dan kesanggupan, kebolehan dan ketekunan belia untuk mencapai pembangunan negara. Belia hari ini merupakan pemimpin negara pada masa hadapan.
Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dalam ucapannya semasa melancarkan Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2023 di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, belia merupakan stakeholder yang terpenting dalam sama-sama menjayakan Wawasan Brunei 2035.
Berpandukan Dasar Belia Negara yang telah dikemas kini dengan pelancaran Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 oleh pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Yang Berhormat Pehin turut mengambil maklum bahawa Dasar Belia Negara berkenaan telah disesuaikan dan selari dengan hasrat dan strategi di peringkat negara, khususnya Wawasan Brunei 2035, Pelan Induk Digital Ekonomi 2025, Dasar Perubahan Iklim Negara dan Pelan Strategik Manpower and Employment Council.

Maka menurut Dasar Belia Negara ini juga takrif Pemimpin belia dikemaskinikan sebagai Belia berumur tidak lebih dari 45 tahun.
“Sehubungan dengan itu, saya berpandangan BYLC 2023 merupakan satu peluang (platform) yang sangat berharga bagi pemimpin-pemimpin muda daripada pelbagai latar belakang dan profesional untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan Wawasan Brunei 2035. Pandangan dan maklum balas yang positif daripada pemimpin-pemimpin muda dalam kalangan belia-belia adalah sangat diharapkan,” jelasnya.
Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, peranan dan penglibatan belia dalam sama-sama menerajui pembangunan negara pernah disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35 pada tahun 2019 di mana Baginda bertitah “…Pada tahun-tahun yang lalu kita telah menyandarkan harapan tinggi kepada generasi muda untuk menerajui pembangunan negara secara proaktif.
“Alhamdulillah, sedikit demi sedikit harapan itu terkabul, dengan para belia menunjukkan pencapaian-pencapaian yang menggalakkan di bidang-bidang keusahawanan, ekonomi dan kemasyarakatan. Serentak itu, agensi-agensi kerajaan juga tidak ketinggalan dalam menyediakan prasarana serta membantu para belia, khususnya dalam memberikan bimbingan kepada mereka yang berkecimpung di bidang keusahawanan.”
Sebelum mengakhiri ucapan, Yang Berhormat Pehin turut mengungkapkan harapan besar agar semua pemimpin muda mengambil manfaat melalui konvensyen tersebut.
“Selain itu, saya juga berharap agar para belia akan dapat bekerjasama secara erat dengan pihak-pihak yang berkepentingan khususnya mereka yang dijemput khas di dalam konvensyen ini dalam mengaplikasikan idea, nasihat dan pandangan yang dikongsikan oleh mentor-mentor undangan, para pemudahcara serta jemputan-jemputan khas konvensyen,” ujarnya.

