KUALA LUMPUR, 13 MEI – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa semua pemimpin negara-negara Islam bertindak sekarang bagi melindungi serta membebaskan penduduk Palestin dan Baitulmaqdis.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata mereka tidak seharusnya berhenti selepas melontarkan kata-kata berbaur kebimbangan dan kecaman terhadap serangan tidak berperikemanusiaan ke atas Baitulmaqdis, Al Aqsa dan Gaza oleh Israel.
“Setiap hari bahkan setiap minit kelewatan anda bertindak bermakna akan terdapat kehilangan nyawa di Gaza serta Tebing Barat dan yang paling teruk ialah martabat Al Aqsa yang suci akan musnah habis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata selama lebih 70 tahun penduduk Palestin terpaksa berdepan tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan dinafikan hak paling asas untuk meneruskan kehidupan.
Katanya penduduk Palestin telah dilayan seperti penjenayah hanya kerana mereka beragama Islam. – Bernama