Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Peranan pemimpin peringkat seterusnya adalah memastikan kepimpinan dan layanan yang adil kepada semua tenaga kerja, tanpa mengira perbezaan generasi di dalam organisasi mereka.
Selain itu, kepimpinan yang berkesan selalunya melibatkan kolaborasi dan kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa, bukan sahaja dalam organisasi atau industri mereka sendiri kerana ia boleh membawa kepada penyelesaian inovatif dan perkongsian sumber yang memberikan manfaat kepada semua.
Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucaptamanya semasa Forum Kepimpinan 2023 dengan tema Next-Level-Leadership.
Beliau seterusnya menambah bahawa pemimpin yang berkesan harus memperjuangkan keadilan dan memberikan peluang yang sama kepada tenaga kerja, dan dengan ini, menggalakkan keterangkuman, kesaksamaan dan proses pembelajaran bersama.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF), Hajah Sufinah binti Haji Sahat dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyentuh mengenai fungsi forum sebagai platform untuk menyatukan para pemimpin dari pelbagai latar belakang, industri dan pengalaman bagi membincangkan dan berkongsi pendapat mengenai cabaran-cabaran dalam kepimpinan, mencari penyelesaian inovatif serta mempertingkatkan impak kepimpinan secara kolektif.
Semasa sesi sebelah pagi pembentangan bertajuk Leadership Blueprint: Mastering Leadership Skills to Achieve Extraordinary Breakthrough Results telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, AJM International Academy, Malaysia, Dr Amat Taap Manshor.
Sesi perbincangan panel juga telah diadakan bertajuk Embrace, Engage and Empower: The Transition to Strategic Leadership yang menampilkan Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Haji Ahmad; Hajah Sufinah; Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell, Agnete Johnsgaard-Lewis; dan Pengarah Program Arqam dan Ketua Strategi dan Perancangan, ALAMI Indonesia, Mochamad Nizar Mustaqim.
Sesi petang pula mendengarkan pembentangan mengenai Understanding Neuroscience in Leadership oleh Dr Rizki Edmi Edison dari Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA) dan sesi fireside chat bertajuk Connect with Your Followers: Becoming the Next Level Leader yang menampilkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Haji Awang Afero Eswandy bin Haji Awang Mohamad dan Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Malaysia Bhd, Iran Moriff.
Acara diteruskan dengan sesi perbincangan bertajuk Are We Future-Ready Leaders Thriving with Self-Leadership? yang dikendalikan oleh Pengarah IPS, Dr Mahani binti Haji Hamdan, manakala ahli-ahli panel termasuk Kolonel (B) Awang Saiful Akhmar bin Haji Mohd Shariff dari IPS, Dr Rizki Edmi Edison dan Dr Amat Taap.
Forum diakhiri dengan ucapan penutup Pengarah ILIA, Dr Asiyah AzZahra binti Ahmad Kumpoh yang menyeru organisasi-organisasi untuk menyokong pemimpin masa depan dengan menyediakan peluang bagi meningkatkan pengetahuan dan me-ngembangkan kebolehan mereka.
Forum yang dianjurkan oleh BILIF dengan kerjasama ILIA, UBD telah dihadiri oleh profesional-profesional dari organisasi kerajaan dan swasta, antaranya Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Bursa Brunei Darussalam Sdn Bhd (BNX), United Overseas Bank Brunei, RHB Bank Brunei dan Penerbangan Diraja Brunei (RB).
Forum bertujuan untuk me-neroka strategi-strategi kepimpinan yang praktikal serta amalan terbaik dalam usaha memajukan kepimpinan ke peringkat yang lebih mampan.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk berkongsi langkah-langkah bagi menggalakkan keterangkuman, pengurusan tenaga kerja yang pelbagai dengan berkesan serta mendedahkan cabaran-cabaran kepimpinan dalam menuju transformasi.