Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), baru-baru ini, telah menghantar empat orang pemimpin pengakap untuk menyertai Kursus Penilaian Penilai Anugerah Baden Powell yang berlangsung di Asrama Pusat Putera Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara, Johor, Malaysia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, di sini, hari ini, pemimpin pengakap yang menyertai kursus berkenaan ialah Pesuruhjaya Program Belia, Awang Junaidi bin Haji Hussin; Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait-Latihan, Awang Mohammad Sharin bin Haji Suhaili dan Pemimpin Pengakap Terlatih, Awang Rakob bin Nasir.
Manakala itu, Pegawai Eksekutif merangkap Setiausaha Majlis Pasukan Latihan Pengakap Kebangsaan, Awang Zainudin bin Haji Ishak pula menghadiri sebagai jurulatih jemputan bagi kursus selama tiga hari anjuran Pasukan Latihan Negara, Persekutuan Pengakap Malaysia itu yang bermula pada 22 hingga 24 Februari. Menurut kenyataan itu lagi, hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis perasmian kursus ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor Darul Takzim, Haji Yaacob bin Haji A Karim. Turut hadir ialah Pengarah kursus, Mohd Khir bin Muda, jurulatih-jurulatih pengakap dan pembimbing kursus.
Kursus itu dihadiri oleh lebih 80 orang pesuruhjaya pengakap dan pemimpin pengakap dari seluruh negeri di Malaysia yang bertujuan untuk memastikan prosedur latihan yang lebih dikemaskinikan serta diterima pakai dalam menguruskan perkembangan serta penglibatan Pengakap Kelana dalam pergerakan pengakap di setiap negara. Di samping itu, para peserta akan berkongsi pengalaman yang berkesan dengan sistem latihan yang dijalankan untuk memantau keberkesanan pelaksanaannya serta cabarannya.
Anugerah Baden Powell merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada ahli Pengakap Kelana setelah mengikuti latihan dalam skim latihan Pengakap Kelana. Bagi melahirkan Penerima Anugerah Baden Powell, ahli perlu mengikuti Ujian Penilaian Anugerah Baden Powell yang dikendalikan oleh Lembaga Penilaian Anugerah Baden Powell Negeri yang mana bakal penerima anugerah akan dinilai dan diuji oleh penilai yang telah dilatih dan berpengalaman dalam ilmu kepengakapan serta secara tidak langsung akan dapat melengkapi bakal penilai dan penilai sedia ada dengan sukatan dan ujian penilaian anugerah dengan lebih baik, seragam dan berkesan.
Kursus itu bermatlamat untuk memberikan pengetahuan dan penjelasan tentang sistem pengujian yang betul kepada Penilai Anugerah Baden Powell. Ia juga dihasratkan untuk melahirkan penilai yang berpengetahuan dan mengetahui akan kaedah standard Pengujian Penilaian Anugerah Baden Powell, mewujudkan kumpulan penilai yang boleh mengurus penilaian dengan cara yang betul dan berkesan. Antara latihan yang telah dijalankan semasa kursus berkenaan ialah penerangan mengenai etika sebagai seorang penilai, prosedur penganjuran ujian penilaian, mengetahui lapan komponen modul ujian penilaian serta ujian kemahiran pengakap iaitu ikatan dan simpulan, personaliti, kenegaraan, pengucapan awam, pengurusan acara, perkhidmatan serta latihan kawad kaki dan kawad tongkat.