TEHRAN, 4 OKT – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei telah mengimamkan sembahyang Fardu Jumaat dan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Imam Khomeini Grand Mosalla di tengah Tehran, kata laman web rasminya.
Khutbah Jumaat oleh Khamenei – yang pertama dalam hampir lima tahun – diadakan tiga hari sebelum genap setahun perang Israel-Hamas di Gaza.
Sembahyang fardu itu kemudiannya diikuti dengan upacara memperingati untuk Hassan Nasrallah, pemimpin gerakan bersenjata Lubnan disokong Tehran, Hizbullah, yang terkorban.
Pengawal Revolusi Iran berkata bedilan kira-kira 200 peluru berpandu Selasa lalu adalah sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan Israel terhadap Nasrallah bersama komander Pengawal, Abbas Nilforoushan, dalam serangan pada akhir September di Beirut, dan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran Julai lalu.
Kali terakhir Khamenei mengimamkan sembahyang Fardu Jumaat adalah pada Januari 2020 selepas Iran melepaskan peluru berpandu ke pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq, sebagai tindak balas terhadap serangan yang membunuh komander Pengawal Revolusi yang berpengaruh, Qasem Soleimani.
Di Tehran, orang ramai yang mengibarkan bendera Hizbullah dan Iran berkumpul di luar bangunan bekas kedutaan AS kelmarin untuk mengecam jenayah Israel di Semenanjung Gaza dan di Lubnan, lapor media Iran.
Khamenei telah mengisytiharkan perkabungan awam di Iran untuk Nasrallah dan berkata pada Rabu lalu kematian ketua Hizbullah itu ‘bukan perkara kecil.’
Hamas, Hizbullah dan kumpulan bersenjata lain di Timur Tengah adalah sebahagian daripada paksi penentangan yang bersekutu dengan Iran bagi menentang Israel dan sekutunya Amerika Syarikat. – AFP