HANOI, 19 JULAI – Nguyen Phu Trong, pemimpin kontemporari paling berpengaruh di Vietnam dan arkitek kempen anti-rasuah terbesar negara itu, meninggal dunia pada usia 80 tahun, menurut laporan media rasmi Vietnam hari ini.
Dalam tempoh 13 tahun sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, ribuan orang telah ditahan atas tuduhan rasuah dan tindakan keras terhadap pembangkang serta aktivis dipertingkatkan di negara satu parti tersebut.
Trong juga memegang jawatan Presiden dari 2018 hingga 2021 dan berkhidmat selama tiga penggal berturut-turut sebagai Setiausaha Agung, adalah yang pertama melakukannya sejak era pembaharuan ekonomi ‘doi moi’ bermula pada tahun 1986. Pencapaian itu menjadikannya pemimpin paling berkuasa dalam beberapa dekad.
Kempen anti-rasuah besar-besaran Trong, yang menurut penganalisis turut dikaitkan dengan rebutan kuasa politik, telah meliputi parti, polis, angkatan bersenjata dan perniagaan.
Menurut angka rasmi, lebih 3,500 orang telah didakwa sejak 2021, termasuk bekas Menteri Kesihatan dan dua bekas Datuk Bandar Hanoi yang dipenjarakan.
Susulan skandal berkaitan pandemik COVID-19 tahun lalu, Presiden Nguyen Xuan Phuc meletak jawatan dan dua Timbalan Perdana Menteri dipecat daripada jawatan mereka. Ramai pegawai tinggi lain yang bekerja di pelbagai sektor, dari alam sekitar dan tenaga hingga penjagaan kesihatan dan perbankan, sedang disiasat.
Linh Nguyen, penganalisis utama untuk pengawalan risiko di Vietnam, berkata Trong ingin dikenang ‘sebagai seorang populis, seseorang yang sangat dekat dengan rakyat, yang mendengar suara rakyat’. – AFP
