Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Program Latihan Serantau pertama bagi tahun 2024 iaitu Kemahiran Kepimpinan Abad ke-21 bagi Pemimpin-pemimpin TVET yang diadakan sejak 14 Februari lalu berakhir hari ini dengan majlis penutup yang diadakan secara maya dan secara langsung di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong.
Seramai 22 orang profesional TVET dari 11 buah negara anggota SEAMEO iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam, termasuk pegawai kanan, pengurus dan ketua jabatan kerajaan telah menerima sijil penyertaan pada majlis itu.
Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei Darussalam, Shaun Grosse hadir sebagai tetamu kehormat secara maya di SEAMEO VOCTECH.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Haji Norjimee Jenek; Timbalan Pengarah, selaku Fasilitator Kursus Latihan, Dr Jaya Priah Kasinathan dan para jemputan khas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SEAMEO VOCTECH, kursus selama lima hari itu bertujuan untuk melengkapkan pemimpin TVET di ASEAN dengan kemahiran kepimpinan abad ke-21 yang diperlukan untuk memupuk inovasi, keterangkuman, dan kebolehsuaian dalam institusi mereka serta menyediakan platform untuk belajar dan berkongsi amalan yang terbaik dengan pemimpin yang lain.
Haji Norjimee dalam ucapannya berkata, kemahiran kepimpinan yang telah diperolehi peserta melalui program latihan itu adalah untuk memupuk kerjasama dan memacu perubahan serta kehendak bagi mendorong institusi masing-masing ke arah kecemerlangan dan impak yang lebih besar.
Beliau berharap, para peserta akan dapat memainkan peranan mereka sebagai pemimpin dan untuk terus komited dalam pembelajaran berterusan, pertumbuhan dan penyesuaian.
Shaun Grosse dalam ucapan juga turut menekankan mengenai kepentingan TVET dalam menyediakan pekerja yang mempunyai kemahiran sesuai untuk memenuhi permintaan industri yang berkembang pada masa kini.


