HONG KONG, 7 JULAI – Para peminat bola sepak di Hong Kong beratur selama berjam-jam hari ini, untuk mengambil gambar bersama trofi dan jersi milik Cristiano Ronaldo dalam sebuah pameran yang diuar-uarkan sebagai yang pertama seumpamanya di luar negara asal bintang bola sepak itu, Portugal.
Pengunjung yang menghadiri pembukaan ‘CR7 LIFE Museum Hong Kong’ di sebuah pusat beli-belah mewah bergambar bersama patung bersaiz sebenar bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu, termasuk satu patung dalam posisi meraikan gol di udara dan satu lagi berpakaian tradisional Arab Saudi.
“Cristiano Ronaldo ialah idola saya… dia sangat istimewa,” kata Alvin Lai, 14 tahun, yang merupakan orang pertama dalam barisan lebih 100 orang.
“Dia adalah orang paling rajin dalam dunia bola sepak,” kata Henry Singh, seorang pelajar universiti.
“Dia sudah berumur 40 tahun tetapi masih bermain dengan sangat cemerlang.”
Ronaldo menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama kelab Arab Saudi, Al Nassr, bulan lalu dan menyifatkan ia sebagai ‘bab baharu’ dalam satu hantaran di Instagram.
Al Nassr dijadualkan menyertai kejohanan pramusim di Hong Kong bulan depan.
Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu dijangka akan bertemu peminat di muzium tersebut ‘dalam masa terdekat,’ kata Tomas Froes, wakil pejabat keluarga Ronaldo. – AFP
