Selepas secara terbuka mengakui sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Choi Jung Hoon pada Ogos lalu, pelakon Korea, Han Ji Min menjadi sasaran kemarahan peminat.
Rata-rata memberi reaksi negatif terhadap berita tersebut hanya kerana tidak menyukai hubungannya dengan Jung Hoon dan meminta aktres berkenaan berpisah.
Memetik petikan mStar, warganet tidak menyukai Jung Hoon selepas dia dikatakan anak kepada bekas penjenayah dan mahu aktres tersebut bercinta dengan Lee Min Ki.
“Saya nak awak bersama pelakon Lee Min Ki, bukan dengan Choi Jung Hoon.
“Imej Han Ji Min akan terjejas teruk kerana bercinta dengan anak penjenayah.
“Semua orang berkata Han Ji Min boleh dapat lelaki lebih baik, bercinta dengan Choi Jung Hoon mungkin bermakna dia sama buruk,” komen warganet.
Sementara itu, syarikat pengurusan Ji Min, BH Entertainment bakal mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat dalam gangguan dan trolling dalam talian terhadap aktres itu.
“Kami telah mengenal pasti fitnah berniat jahat yang berterusan, serangan peribadi dan penyebaran berita palsu mengenai pelakon Han Ji Min. Kami juga telah melantik firma guaman dan mengemukakan aduan kepada Balai Polis Gangnam di Seoul,” kata wakil syarikat tersebut.
Pada masa sama, agensi itu turut menggalakkan peminat untuk melaporkan sebarang jenayah siber terhadap Ji Min terus kepada pihak pengurusan.
Selain itu, mereka berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong Ji Min meskipun dia menghadapi gangguan siber. – Agensi