LONDON, 30 JUN – Peminat England disarankan untuk tidak mengadakan perjalanan ke Rom bagi menyaksikan perlawanan peringkat suku akhir Euro 2020 menentang Ukraine pada Sabtu disebabkan oleh sekatan koronavirus.
Kemenangan 2-0 ke atas Jerman pada awal pagi tadi di Wembley melayakkan pasukan Gareth Southgate mara ke pusingan lapan pasukan terakhir di Kejohanan Eropah.
Tetapi peraturan kesihatan di Itali akan mewajibkan peminat yang membuat perjalanan dari Britain untuk menjalani pengasingan diri selama lima hari dan sekali gus bermakna mereka akan terlepas pertemuan tersebut.
Oleh sebab itu pasukan England terpaksa turun beraksi tanpa kehadiran peminat mereka, yang baru-baru ini dibenarkan untuk kembali ke Wembley ketika sekatan COVID-19 dilonggarkan.
Badan Persatuan Bola sepak England (FA) telah diberikan sebanyak 2,560 tiket bersamaan dengan 16 peratus kapasiti yang dibenarkan daripada jumlah 16,000 kapasiti tempat duduk penuh di Stadio Olimpico. – AFP