Sikap terbuka penyanyi Hyuna berkongsi tentang hubungan dengan teman lelakinya di media sosial mengundang rasa kurang senang dalam kalangan peminat.
Apatah lagi Hyuna dilihat kerap memuat naik foto mesra bersama bakal suaminya iaitu Yong Jun Hyun di Instagram. Bukan sahaja meluat melihat kemesraan dipamerkan, peminat juga tidak merestui pilihan Hyuna memilih berkahwin dengan Jun Hyun.
“Saya doakan Hyuna bahagia tetapi bukan dengan lelaki ini; Sila berhati-hati Hyuna, dia nampak macam seorang lelaki tidak boleh dipercayai,” antara komen peminat di Instagram miliknya.
Hyuna dan Jun Hyun dilaporkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 11 Oktober depan.
Sejak mengumumkan berita itu, ruang komen di media sosialnya dibanjiri kecaman yang meminta dia berfikir semula tentang keputusan dibuat. Apatah lagi Jun Hyun pernah dikaitkan dengan kes jenayah seksual membabitkan ramai selebriti lelaki.
Januari lalu, Hyuna yang juga merupakan bekas anggota kumpulan 4minute berkongsi foto sedang berpegangan tangan dengan Jun Hyun sekali gus mengesahkan gosip mereka sedang bercinta. – Agensi