Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peminat naik Uber kejar Ayda di Indonesia

    KUALA LUMPUR – Penyanyi, Ayda Jebat, meluahkan rasa terharu dengan sambutan peminat sepanjang siri promosi single Pencuri Hati versi dangdut di Indonesia.

    Beliau berkata, antaranya ada peminat yang sanggup menaiki Uber semata-mata mahu mengejar dan bertemu dengannya yang mengadakan promosi lagu berkenaan di 12 stesen radio negara itu.

    “Saya tidak sangka mereka kenal dan sudi berjumpa dengan saya, malah meninggalkan komen di laman sosial. Lebih manis, mereka juga tahu lagu dan drama lakonan saya di Malaysia. Mereka sanggup tunggu di luar stesen radio semata-mata mahu mengambil gambar dengan saya,” katanya.

    Majlis pelancaran single itu berlangsung di kafe Rolling Stone, Ampera di Jakarta. Ayda turut mendapat reaksi positif dari media negara itu yang hairan melihat penyanyi terbabit begitu rapat dan berhubung baik dengan peminat.

    Ayda ketika menjawab soalan daripada media berkata, peminatnya yang digelar AJ Screamer ialah penyokong paling setia serta sanggup bersamanya pada waktu susah dan senang.

    Ayda Jebat meluahkan rasa terharu dengan sambutan peminat sepanjang siri promosi single Pencuri Hati versi dangdut di Indonesia.
    Ayda Jebat meluahkan rasa terharu dengan sambutan peminat sepanjang siri promosi single Pencuri Hati versi dangdut di Indonesia.

    “Saya bersama mereka bukan kerana mengharapkan balasan seperti undian bagi memenangi anugerah. Mereka ialah nyawa saya. Bukan senang untuk mendapat sokongan dan kepercayaan peminat yang secara sukarela. Saya sangat beruntung,” katanya.

    Beliau turut bersyukur apabila single terbabit dipilih menjadi lagu tema tiga sinetron iaitu Rebutan Cinta Skretaris Metal, Let’s Go Kita Married dan Tanjidor Love Story.

    “Saya sangat bersyukur dengan rezeki ini dan berharap ia akan menjadi pintu yang membuka kepada lebih banyak peluang di sini,” katanya.

    Ayda yang diundang dalam rancangan bual bicara popular, Ini Talkshow di Net TV berkata, dirinya terharu kerana berpeluang menjadi tetamu program berkenaan.

    Penyanyi terbabit juga gembira apabila bilangan pengikutnya di laman Instagram bertambah seramai 10,000 orang, dengan majoritinya peminat dari Indonesia, sepanjang siri promosi itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda