Luahan hati pelakon Fattah Amin terhadap anak perempuan tunggalnya iaitu Nur Fatima Aisya mengundang sebak dalam kalangan peminat.
Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata, besar harapannya agar Fatima tidak akan melupakan dirinya walaupun sudah tidak tinggal sebumbung dan jarang dapat bertemu.
“Daddy sayangkan Fatima. Fatima tahu macam mana daddy sayangkan Fatima, dari lahir sehingga kini.
“Sepanjang kita bersama, daddy simpan semua kenangan dalam telefon.
“Walaupun sekarang ini, daddy sudah tidak lagi duduk dengan Fatima tapi daddy harap Fatima tak lupakan daddy,” katanya.
Fattah membuat luahan itu menerusi temu bual bersama pelakon Janna Nick dalam program Melodi Up Close with Fattah Amin.
Dalam pada itu, Fattah berkata, dia berharap apabila anaknya itu dewasa nanti akan memahami situasi yang berlaku.
Malah luah Fattah, dia sendiri tidak mahu penceraian dengan bekas isteri iaitu pelakon Nur Fazura terjadi.
“Kalau diberi peluang untuk daddy sendiri cakap dengan Fatima, daddy memang tak nak perkara ini terjadi.
“Apabila Fatima besar nanti, Fatima akan faham keadaan sebenarnya,” luahnya lagi.
Janji Fattah, dia akan sentiasa cuba mencari masa untuk bersama anak kesayangannya itu bagi membuatnya gembira.
“Dadyy nak bawa Fatima pergi jalan-jalan, kita pergi taman, beli toys dan apa sahaja yang buat Fatima gembira,” katanya.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 namun jodoh pasangan ini terlerai apabila sah bercerai pada 7 Oktober tahun lalu. – Agensi
