Sejak muncul dengan drama bersiri When The Phone Rings, pasangan pelakon Chae Soo Bin dan Yoo Yeon Seok tak senang duduk apabila setiap gerak geri mereka diperhatikan peminat.
Terbaharu, tindakan Soo Bin memuat naik video melawat ke sebuah pusat perlindungan haiwan menjadi ‘bahan’ siasatan peminat.
Peminat mendakwa Soo Bin ke pusat tersebut bersama Yeon Seok selepas terdengar suara aktor berkenaan di dalam video tersebut.
Apa membuatkan peminat bertambah sangsi, Soo Bin bertindak memadam hantaran berkenaan selepas beberapa minit ia dimuat naik di Instastory.
Namun hantaran tersebut berjaya dirakam peminat dan ia mula tersebar di platform X sehingga ramai membuat pelbagai andaian mengenainya.
“Saya percaya itu suara Yeon Seok. Saya cukup kenal dengan suara itu;Kalau itu bukan suara Yeon Seok, kenapa Soo Bin perlu padam hantaran tersebut? Takut ke?,” antara komen warganet.
Soo Bin dan Yeon Seok mula digosipkan sedang bercinta sejak mereka sama-sama terbabit dalam drama When The Phone Rings yang turut mencatat jumlah tontonan tinggi.
Apa membuatkan peminat percaya mereka sedang bercinta apabila pasangan pelakon itu dilihat memaparkan kemesraan walaupun drama itu sudah selesai menjalani penggambaran.
Kedua-dua pelakon itu bagaimanapun memilih mengunci mulut mengenai gosip yang sedang bertebaran mengenai mereka. – Agensi