Sehingga kini kes perbicaraan antara pelakon terkenal Johnny Depp dan bekas isterinya iaitu aktres Amber Heard masih berjalan di Mahkamah Fairfox, Virgina.
Namun apa yang menarik perhatian peminat iaitu hubungan Depp dengan salah seorang peguam yang mewakilinya iaitu Camille Vasquez.
Peminat mula membuat spekulasi bahawa pelakon filem Pirates of the Caribbean itu sedang menjalinkan hubungan cinta dengan peguamnya itu. Menerusi video dalam aplikasi Tiktok, peminat membuat teori mengenai hubungan cinta itu selepas membaca bahasa badan Depp dengan peguam wanita tersebut.
Malah, dalam video itu juga terdapat satu klip yang memperlihatkan Depp dan Camille membalas senyuman ketika meninggalkan mahkamah. Bagaimanapun sumber terdekat Camille tampil menafikan mereka berdua mempunyai hubungan cinta malah menegaskan peguam itu sudah mempunyai teman lelaki.
Konflik antara Depp dan Heard bermula selepas aktres itu mendakwa dikasari dan dipukul oleh bekas suaminya itu ketika mereka masih berkahwin.
Gara-gara pendedahan itu, karier seni Depp menjadi malap namun selepas enam tahun akhirnya dia berani memfailkan saman terhadap Heard untuk membersihkan namanya. – Agensi
