Penyanyi dan pelakon Bella Astillah sekali lagi menjadi tumpuan selepas dilihat memanggil ibu ahli politik Malaysia, Syed Saddiq Abdul Rahman dengan panggilan mama.
Dalam sebuah acara yang berlangsung pada Sabtu, Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, bukan sahaja menghiburkan penonton, malah turut mencipta momen manis apabila menari bersama ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz di atas pentas.
Menyampaikan lagu berjudul Gelora Jiwa nyanyian Yuna, reaksi Bella memanggil ibu Syed Saddiq sebagai mama mengundang keterujaan peminat.
“Mama dah cantik dah ni, terima kasih mama,” katanya.
Momen Bella bersama ibu Syed Saddiq itu terus menguatkan lagi desas-desus hubungan dengan mereka walaupun masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada mana-mana pihak.
“Wedding of the year, kita tunggu tahun depan (2026) la guys, tahun ini ramai dah kahwin.
“Okay sempurna, sekarang dah boleh kahwin.
“Mentua (Sharifah Mahani) dan menantu (Bella) sama cantik.
“Sangat penyayang dan insya-Allah jadi bakal mentua yang ‘sporting’,” tulis warganet.
Untuk rekod, Bella pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016, namun bercerai buat kali kedua pada 13 Jun 2023 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Bella kemudiannya berkawan rapat dengan Syed Saddiq selepas mereka sama-sama mendaki Gunung Kinabalu di Sabah pada Januari lalu. Mereka dilihat semakin rapat sejak itu. – Agensi


