Tinggal dua hari lagi sebelum mengakhiri zaman bujang, peminat teruja apabila ‘diundang’ menyaksikan pernikahan pelakon Luna Maya bersama Maxime Bouttier secara langsung pada 7 Mei ini.
Khabar gembira ini diumumkan menerusi Instagram rasmi milik TS Media yang berkongsi kad undangan digital pernikahan pelakon filem Sumala itu, menurut laporan mStar.
Dalam hantaran dibuat disertakan tarikh pernikahan antara 6 dan 7 Mei ini yang dijangka berlangsung di Bali, Indonesia.
“Siap-siap berdandan cantik dan kacak, dari rumah sahaja kita diundang secara maya untuk menyaksikan momen istimewa Luna dan Maxim pada 6-7 Mei.
“Jangan lupa tulis ucapan dan hadir secara maya di ruangan komen,” tulisnya.
Dalam pada itu, rata-rata peminat meluahkan rasa teruja dan tidak sabar ingin menjadi antara peminat yang bertuah dapat menyaksikan hari bahagia pelakon berkenaan.
“Saya bukanlah insan yang istimewa bagi mereka (Luna dan Maxime), tetapi saya pasti akan hadir secara maya untuk menyaksikan pernikahan mereka.
“Saya akan hadir, semoga majlis pernikahan Luna berjalan lancar dan menjadi keluarga yang diberkati Allah,” antara tulisan warganet.
Sebelum ini, kad undangan penikahan tertulis nama Luna dan Maxime mula tersebar namun tiada sebarang kenyataan rasmi dari kedua-dua pihak.
Menerusi maklumat berkenaan mereka akan bernikah pada 7 Mei ini di Ubud, Bali Indonesia.
Luna sebelum ini berkongsi khabar gembira dilamar Maxime ketika mereka berada di Jepun.
Untuk rekod, hubungan cinta Luna dan Maxime mula dihidu peminat sekitar tahun 2023.
Bagaimanapun, pasangan ini memilih untuk berdiam diri dari mengulas lanjut mengenai hubungan tersebut kerana perbezaan umur di antara mereka. – Agensi
