BANGKOK – Meregangkan hujung jari mereka ke langit, ratusan peminat yoga membentangkan tikar yoga mereka di landasan utama lapangan terbang Bangkok, sambil melakukan senaman sementara penerbangan pagi mula kedengaran berderam di atas kepala mereka.
Ia merupakan satu acara yang luar biasa dilakukan di landasan ketiga lapangan terbang utama Bangkok yang masih dalam pembinaan, yang memperlihatkan ratusan pengamal yoga sambil menikmati minuman seperti air kelapa, teh ais dan air kosong yang disertakan dalam rutin mereka.
Kira-kira 500 pengamal yoga dan pempengaruh mula tiba bersama kamera mereka seawal jam 5 pagi, berjalan dalam gelap menuju ke tikar yoga masing-masing di landasan kapal terbang.
Ketika matahari terbit, pengajar yoga membimbing kumpulan itu dalam dua sesi senaman, bersemangat walaupun berdepan dengan pencemaran, persekitaran industri dan sekali-sekala bunyi bising pesawat yang berlepas.
“Hari ini akan menjadi sangat istimewa,” laung seorang pengajar, sebelum meminta peserta ‘angkat kelapa awda ke udara!’.
“Rasa seperti burung yang cantik,” katanya, sementara sebuah pesawat meluncur di sepanjang konkrit dan terbang ke udara di belakang peserta.
Walaupun ramai yang hadir adalah pempengaruh yang mungkin lebih tertumpu untuk mendapatkan gambar yang sempurna berbanding melakukan teknik yoga yang betul, namun kebanyakan nampaknya datang untuk berseronok.
“Inilah sesuatu yang menyeronokkan, ini adalah acara yang baik,” kata peguam Rugeradh Tungsupakul, yang menghadiri bersama seorang rakan.
“Pada masa ini, ramai orang terlalu sibuk untuk pergi ke studio yoga kerana pekerjaan,” katanya kepada AFP.
Rugeradh, seorang peserta yang juga peguam berasa bimbang tentang pencemaran memandangkan Bangkok adalah antara bandar paling tercemar di dunia, namun dia telah memeriksa kualiti udara sebelum tiba.
“Sekarang, tidak terlalu buruk,” jelasnya.
Walaupun ada beberapa orang peserta lelaki dalam khalayak peserta, senaman itu didominasi oleh kaum wanita.
Kebanyakan daripada mereka berpakaian seragam yoga yang terdiri daripada seluar hitam dan berbaju putih dihiasi dengan perkataan ‘BREW’ yang bermaksud Brew Yoga, iaitu penganjur acara itu.
“Ini adalah acara yang sangat istimewa untuk saya,” kata pengajar Pavadee Komchokpaisan, 30, menambah ini adalah kali pertama yoga dilakukan di landasan kapal terbang.
”Ramai yang datang ke sini hanya untuk menyertai kelas yoga, dan mengambil gambar di landasan kapal terbang,” beritahunya kepada AFP, sambil memuji komuniti yoga Bangkok.
Salah seorang yang menerima jemputan ialah Precious, yang telah tinggal di Bangkok selama empat tahun dan mengatakan dia dijemput disebabkan oleh kucingnya, Ernest, yang terkenal di Instagram.
“Kucing saya pernah ke Switzerland, Botswana, Afrika Selatan, jadi jelas sekali ini kelihatan sesuai,” katanya kepada AFP.
Dia terfikir bahawa dia mungkin tidak akan pernah menerima undangan untuk melakukan yoga di landasan kapal terbang lagi.
“Mengapa tidak?!” tanyanya. – AFP