Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemindahan badak sumbu bantu halang kepupusan

    CHITWAN – Keadaan menjadi kelam-kabut apabila badak sumbu yang bertanduk satu keluar dari krat. Pengembala-pengembala gajah yang kuat cuba untuk memindahkannya ke tempat kediaman baru di barat Nepal dengan harapan untuk menyelamatkan spesies yang terancam itu.

    Badak sumbu jantan yang perengus dan banyak kerenah itu merupakan badak sumbu pertama yang dipindahkan ke Taman Kebangsaan Shuklaphanta, namun akan disusuli oleh empat lagi badak sumbu betina yang dalam umur pembiakan. Badak sumbu yang mempunyai satu tanduk itu sering menjadi sasaran pemburu-pemburu haram.

    Pencarian badak-badak sumbu yang sesuai untuk program pemindahan itu merupakan usaha yang penuh dengan cabaran bagi kumpulan yang terdiri dari 100 orang pemuda kuat. Mereka bermula pada waktu subuh di Taman Kebangsaan Chitwan dengan menunggang gajah dan berkomunikasi antara satu sama lain dengan suara ringkas dan isyarat tangan. Masing-masing menuju ke arah yang berbeza dan masuk ke dalam hutan tebal.

    Sebelum ini, beribu-ribu badak sumbu bertanduk satu berkeliaran di dataran selatan Nepal, namun aktiviti pemburuan haram yang berleluasa dan pencerobohan manusia mengurangkan jumlahnya menjadi sekitar 100 ekor pada akhir abad lalu.

    Satu inisiatif pemeliharaan dan antipemburuan haram telah berjaya meningkatkan jumlah badak sumbu pada dekad lalu sehingga mencecah angka 645. Namun, darah baru diperlukan di Taman Kebangsaan Shuklaphanta untuk melindungi jumlah badak sumbu di negara itu dari ancaman, kata Dr Kanchan Thapa, seorang ahli biologi dari kumpulan pemeliharaan WWF. Taman itu kini menempatkan lapan ekor badak sumbu.

    Badak sumbu digulingkan ke atas eretan sebelum dimasukkan ke dalam traktor untuk dipindahkan. – AFP
    Badak sumbu digulingkan ke atas eretan sebelum dimasukkan ke dalam traktor untuk dipindahkan. – AFP

    Semasa dalam pencarian, seekor badak sumbu betina muda kelihatan, ia menjadi calon utama. Namun, setelah ia keluar dari semak yang tebal, anaknya yang berumur sekitar sembilan bulan mengikutnya keluar. Anak badak sumbu akan bersama ibunya sehingga ia berumur dua tahun. Jadi badak sumbu betina itu terkeluar dari senarai, pencarian diteruskan lagi.

    Lebih tiga jam kemudian, kedengaran bisikan keterujaan apabila seekor lagi badak sumbu kelihatan: seekor badak sumbu jantan besar. Gajah-gajah mengelilinginya dan perlahan-perlahan mendorongnya untuk menuju ke arah penembak yang bertenggek di sebalik pokok, menunggu dengan senapang damak penenang.

    Ia merupakan proses yang perlu dilakukan dengan cermat dan teliti. Satu kesilapan akan mengejutkan badak sumbu jantan seberat dua tan yang mampu merempuh gajah-gajah. Ia juga mungkin melarikan diri semula ke dalam hutan. Badak sumbu jantan itu menuju ke arah penembak secara perlahan-lahan, hampir melencong dari sasaran sebelum berhenti dalam jarak tembakan.

    Damak yang ditembak mengenai rusuk badak sumbu. Badak sumbu itu lari namun langkahnya semakin perlahan dan ia akhirnya rebah ke tanah dalam jarak sekitar 100 meter. Doktor haiwan kemudian melekatkan kolar satelit di lehernya dan mengambil sampel darah sebelum beberapa orang lelaki menggulingkannya ke atas eretan. Sebuah traktor diperlukan untuk memindahkannya ke dalam krat sebelum kumpulan itu berkonvoi untuk membawanya ke kediaman barunya yang memakan masa 15 jam.

    Hari hampir tengah hari apabila trak yang membawa badak sumbu sampai ke Taman Kebangsaan Shuklaphanta di barat daya Nepal. Orang teruja apabila krat dibuka, mendedahkan bahagian belakang badak sumbu yang sedang tidur. Meskipun perjalanan panjang, badak sumbu itu pada awalnya kelihatan enggan berganjak.

    Tapi kemudian ia keluar perlahan-lahan dari krat dan tiba-tiba ia nampak bertenaga dan mula merempuh serta menyondol trak berulang-kali sebelum mengalihkan perhatiannya ke arah tiga ekor gajah yang berdiri berhampiran.

    Ahli kumpulan pemindahan badak sumbu bersedia di atas seekor gajah untuk menembak seekor badak sumbu menggunakan senapang damak penenang. – AFP
    Ahli kumpulan pemindahan badak sumbu bersedia di atas seekor gajah untuk menembak seekor badak sumbu menggunakan senapang damak penenang. – AFP
    Aktiviti pemburuan haram yang berleluasa dan pencerobohan manusia mengurangkan jumlah badak sumbu menjadi sekitar 100 ekor pada akhir abad lalu. - AP
    Aktiviti pemburuan haram yang berleluasa dan pencerobohan manusia mengurangkan jumlah badak sumbu menjadi sekitar 100 ekor pada akhir abad lalu. – AP

    Ia merempuh kuat ke arah ketiga-tiga gajah yang menyebabkan luka dalam pada bahagian belakang seekor gajah yang kemudian panik namun cuba untuk ditenangkan oleh pengembalanya. Badak sumbu itu berlari laju ke dalam hutan dan tidak lagi kelihatan.

    Pemindahan haiwan-haiwan terancam merupakan tugas yang sukar dan tidak dapat diramal. Ia akan dibuat sekurang-kurangnya 30 kali dalam tahun-tahun berikutnya kerana kerajaan ingin menambahkan jumlah haiwan tersebut di Shukphanta dan taman pemeliharaan lain di Bardia.

    Jumlah badak sumbu bertanduk satu yang semakin meningkat (tetapi hanya didapati di Nepal) membuatkan spesies itu dikeluarkan dari senarai haiwan terancam pada tahun 2008 oleh Persatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Sekitar.

    Namun, perdagangan haram tanduk badak sumbu yang diberikan harga di China dan Asia Tenggara masih menjadi ancaman. Ia dijual kerana dikatakan mempunyai khasiat perubatan. Tiga ekor badak sumbu telah dibunuh oleh pemburu haram di Nepal dalam empat tahun kebelakangan.

    Meskipun itu menunjukkan angka yang rendah, para pemburu haram akan kembali beroperasi jika pihak berkuasa tidak berwaspada, kata Gam Bahdhur Tamang, 72, seorang pesara peronda perlindungan badak sumbu Nepal pertama yang ditubuhkan oleh raja pada waktu itu, iaitu pada tahun 1959.

    Dia menghabiskan 31 tahun meronda dataran Chitwan dan memberitahu dia telah menangkap sekitar 25 orang pemburu haram. Sehingga kini, dia masih berdoa untuk keselamatan badak-badak sumbu ini.

    “Apabila seekor badak sumbu mati, saya akan terasa kesedihannya, seolah-olah ia bapa saya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda