Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemindahan kotak suara bantu pesakit kanser bercakap semula

    WASHINGTON – Seorang lelaki Massachusetts kembali bersuara selepas pakar bedah mengeluarkan larinks berkanser dan dalam langkah perintis, menggantikannya dengan organ yang didermakan.

    Pemindahan apa yang digelar kotak suara itu sangat jarang berlaku, dan biasanya bukan pilihan untuk penghidap kanser aktif.

    Marty Kedian hanyalah orang ketiga di Amerika Syarikat (AS) yang pernah menjalani pemindahan larinks sepenuhnya – yang lain, bertahun lalu, kerana kecederaan – dan salah satu daripada segelintir yang dilaporkan di seluruh dunia.

    Pakar-pakar bedah di Mayo Clinic di Arizona menawarkan pemindahan kepada Kedian sebagai sebahagian daripada percubaan klinikal baharu yang bertujuan untuk membuka operasi yang berpotensi mengubah hidup kepada lebih ramai pesakit, termasuk beberapa orang yang menghidap kanser, cara paling biasa untuk kehilangan larinks.

    “Orang ramai perlu mengekalkan suara mereka,” kata Kedian, 59, kepada The Associated Press, empat bulan selepas pemindahannya – masih serak tetapi dapat meneruskan perbualan selama sejam. “Saya mahu orang ramai tahu ini boleh dilakukan.”

    Gambar yang disediakan oleh keluarga menunjukkan Marty Kedian mengendong cucunya di Pelham, N.H., pada 26 Februari 2023, sebelum pemindahan larinksnya. – AP
    Gambar yang disediakan oleh Klinik Mayo menunjukkan Dr David Lott mengangkat organ penderma keluar dari bekas perfusi di Mayo Clinic, Phoenix, pada 29 Februari lalu. – AP
    Dr David Lott dikelilingi oleh pasukan doktor pelbagai disiplin yang mengendalikan pembedahan Marty Kedian di Mayo Clinic di Phoenix, pada 29 Februari. – AP
    Dr Girish Mour (kiri) pengarah perubatan Program Pemindahan Larinks dan Trakea Mayo Clinic, dan Dr David Lott (kanan) berdiri di kedua-dua belah Marty Kedian seminggu selepas pembedahannya pada 8 Mac. – AP

    Dia menjadi emosional mengingati kali pertama dia menelefon ibunya yang berusia 82 tahun selepas pembedahan “dan dia boleh mendengar saya. … Itu penting bagi saya, untuk bercakap dengan ibu saya.”

    Kajian itu kecil – hanya sembilan orang lagi akan didaftarkan. Tetapi ia mungkin mengajar saintis-saintis mengenai amalan terbaik untuk pemindahan kompleks berkenaan supaya suatu hari nanti ia boleh ditawarkan kepada lebih ramai orang yang tidak boleh bernafas, menelan atau bercakap sendiri kerana larinks yang rosak atau dibuang melalui pembedahan.

    “Pesakit-pesakit menjadi sangat tertutup, dan sangat terasing dari dunia luar,” kata Dr David Lott, ketua pembedahan kepala dan leher Mayo di Phoenix.

    Dia memulakan kajian itu kerana “pesakit saya memberitahu saya, ‘Ya saya mungkin masih hidup tetapi saya tidak benar-benar hidup’.”

    Pasukan Lott melaporkan keputusan awal pembedahan itu pada Selasa dalam jurnal Mayo Clinic Proceedings.

    Larinks mungkin paling dikenali sebagai kotak suara tetapi ia juga penting untuk bernafas dan menelan.

    Penutup tisu otot yang digelar pita suara terbuka untuk membolehkan udara masuk ke dalam paru-paru, ditutup untuk mengelakkan makanan atau minuman daripada pergi ke arah yang salah – dan bergetar apabila udara menolaknya untuk menghasilkan pertuturan.

    Dua penerima pemindahan larinks pertama AS – di Klinik Cleveland pada 1998 dan Universiti California, Davis, pada 2010 – telah kehilangan suara mereka akibat kecederaan, satu akibat kemalangan motosikal dan satu lagi rosak oleh ventilator hospital.

    Tetapi kanser adalah penyebab terbesar. Persatuan Kanser Amerika menganggarkan lebih daripada 12,600 orang akan didiagnosis dengan beberapa bentuk kanser larinks tahun ini.

    Walaupun hari ini ramai yang menjalani rawatan memelihara suara, beribu-ribu orang telah mengeluarkan larinks sepenuhnya, bernafas melalui apa yang digelar tiub trakeostomi di leher mereka dan bergelut untuk berkomunikasi.

    Walaupun penerima AS yang lebih awal mencapai pertuturan hampir normal, doktor-doktor tidak menerima pemindahan berkenaan.

    Sebahagiannya adalah kerana orang dapat hidup tanpa larinks – manakala ubat anti-penolakan yang menekan sistem imun boleh mencetuskan tumor baharu atau berulang.

    “Kami mahu dapat menolak batasan itu tetapi melakukannya dengan selamat dan beretika,” kata Lott.

    Pakar-pakar kepala dan leher mengatakan percubaan Mayo adalah kunci untuk membantu pemin-dahan larinks menjadi pilihan yang berdaya maju.

    “Ia bukan ‘sekali sahaja’,” tetapi peluang untuk akhirnya belajar daripada seorang pesakit sebelum mengoperasi pesakit seterusnya, kata Dr Marshall Strome, yang mengetuai pemindahan 1998 di Cleveland.

    Percubaan pertama pada pesakit kanser ini “adalah langkah penting seterusnya,” katanya.

    Pilihan-pilihan lain sedang dikaji, kata Dr Peter Belafsky dari UC Davis, yang membantu melakukan pemindahan 2010. Pesakitnya yang berisiko tinggi kehilangan larinks merakam suara mereka dengan menjangkakan peranti pertuturan generasi akan datang yang bersuara seperti mereka.

    Tetapi Belafsky berkata, “masih ada peluang” untuk pemindahan larinks menjadi lebih umum sambil memberi amaran bahawa ia mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun lagi penyelidikan.

    Satu halangan adalah mencapai pertumbuhan semula saraf yang mencukupi untuk bernafas tanpa tiub trach.

    Kedian disahkan menghidap kanser rawan larinks yang jarang ditemui kira-kira sedekad lalu.

    Berasal dari Haverhill, Massachusetts, lelaki itu menjalani lebih 12 pembedahan, akhirnya memerlukan tiub trach untuk membantunya bernafas dan menelan – dan bergelut walaupun untuk mengeluarkan bisikan serak melaluinya. Dia terpaksa bersara kerana
    hilang upaya.

    Kedian yang dahulunya suka berkawan, dikenali dengan perbualan yang panjang bersama orang yang tidak dikenali, tidak membenarkan doktor mengeluarkan seluruh larinksnya untuk menyembuhkan kanser.

    Dia sangat ingin membacakan cerita sebelum tidur kepada cucu perempuannya, dengan suaranya sendiri dan bukannya apa yang dipanggilnya sebagai alat pertuturan yang berbunyi robot.

    Kemudian isteri Kedian, Gina menjejaki kajian Mayo. Lott memutuskan dia adalah calon yang baik kerana kansernya tidak berkembang pesat dan – lebih penting – Kedian sudah pun mengambil ubat anti-penolakan untuk pemindahan buah pinggang yang lebih awal.

    Mereka mengambil masa 10 bulan untuk mencari penderma yang telah meninggal dunia dengan larinks yang cukup sihat dan saiz yang betul.

    Kemudian pada 29 Februari, enam pakar bedah menjalankan pembedahan selama 21 jam.

    Selepas mengeluarkan larinks berkanser Kedian, mereka memindahkan organ yang didermakan serta tisu bersebelahan yang diperlukan – kelenjar tiroid dan paratiroid, farinks dan bahagian atas trakea – dan saluran darah kecil untuk membekalkannya.

    Akhirnya, menggunakan teknik mikropembedahan baharu, mereka menyambung saraf kritikal untuk Kedian merasa apabila dia perlu menelan dan menggerakkan pita suara.

    Kira-kira tiga minggu kemudian, Kedian berkata “hello.” Tidak lama kemudian dia belajar semula untuk menelan, daripada sos epal kepada makaroni dan keju serta hamburger.

    Dia sempat menyapa cucunya, Charlotte melalui video, sebahagian daripada kerja rumahnya untuk terus bercakap.

    “Setiap hari ia menjadi lebih baik,” kata Kedian, yang akan pindah kembali ke Massachusetts tidak lama lagi. Trakeostominya kekal di tempatnya sekurang-kurangnya beberapa bulan lagi tetapi “Saya mendorong diri saya untuk menjadikannya lebih pantas kerana saya mahu tiub ini keluar dari saya, untuk kembali kepada kehidupan normal.”

    Dan seperti yang telah diyakinkan oleh Lott, Kedian mengekalkan loghat Boston
    yang dicintainya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda