Friday, April 25, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peminum arak: Dikenakan hukuman Hadd 40 kali sebatan

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Seluruh ulama bersepakat bahawa meminum arak itu hukumnya adalah haram. Pengharaman meminum arak ini sabit melalui al-Qur‘an, Sunnah dan Ijma‘. Meminum arak, walaupun hanya setitik, dan walaupun tidak mabuk, merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar, malah beberapa orang sahabat Rasulullah seperti ‘Abdullah bin ‘Umar dan ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a. berpendapat bahawa meminum arak itu merupakan dosa besar yang paling besar.

    Keharaman arak adalah sesuatu yang dimaklumi oleh setiap Muslim, apatah lagi bagi yang berada di sebuah negara Islam, seperti Negara Brunei Darussalam. Tidak ada alasan jahil ataupun tidak tahu tentang hukum haram meminum arak ini kerana keharamannya, kemudharatannya terhadap kesihatan dan kehidupan, serta balasan buruk yang dijanjikan Allah ke atas peminumnya sudah pun berulang kali disampaikan dan disebarkan kepada umum melalui ceramah-ceramah agama, khutbah Jumaat, buku-buku dan sebagainya.

    Hukuman Hadd ke atas peminum arak

    Orang Islam yang mukallaf, yang sengaja minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan seperti tuak, sama ada banyak ataupun sedikit, dan sama ada dia mabuk dengan sebab meminumnya ataupun tidak, sedangkan dia tahu bahawa yang diminumnya itu adalah arak ataupun tuak, maka apabila sabit dia minum arak atau tuak itu sama ada dengan iqrarnya (pengakuannya) sendiri atau disabitkan dengan sekurang-kurangnya dua saksi lelaki yang adil, maka menurut mazhab asy-Syafi‘i, orang itu wajib dikenakan hukuman hadd ke atasnya dengan sebatan sebanyak 40 kali sebat.

    Hukuman hadd bagi peminum arak ini adalah berdasarkan riwayat hadits-hadits shahih yang antaranya sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali r.a., beliau berkata yang maksudnya:

    “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenakan hukuman sebat (ke atas peminum arak) sebanyak 40 kali dan Abu Bakar juga mengenakan hukuman sebat 40 kali sementara ‘Umar pula mengenakan hukuman sebat 80 kali. Semuanya itu adalah sunnah belaka, dan ini (40 kali sebatan) yang saya (Sayyidina ‘Ali Radhiallahu ‘anhu) paling sukai.”

    (Hadis riwayat Muslim)

    Seluruh ulama bersepakat bahawa meminum arak itu hukumnya adalah haram.

    Dalam hadis di atas, Sayyidina ‘Ali r.a. menjelaskan bahawa sungguhpun hukuman hadd sebatan 40 kali itu lebih beliau sukai, beliau tidak menolak bahawa hukuman hadd sebatan 80 kali yang dijalankan oleh Sayyidina ‘Umar r.a. itu juga merupakan sunnah dan ia juga boleh dilaksanakan.

    Jadi walaupun hukuman sebatan 80 kali dalam hadits tersebut merupakan hukuman yang dijalankan oleh Sayyidina ‘Umar r.a., ia tetap merupakan satu hukuman yang diperakui dalam syariat Islam. Ini kerana segala perbuatan para sahabat Rasulullah adalah sunnah belaka, apatah lagi jika ia warid daripada insan seperti Sayyidina ‘Umar r.a., iaitu seorang sahabat setia Rasulullah, Khalifah ar-Rashidin yang kedua serta pahlawan terbilang Islam yang dijanjikan syurga.

    Jadi hal ini diserahkan kepada imam ataupun hakim sama ada hendak mengenakan hukuman hadd sebatan 40 kali sahaja ke atas peminum arak, iaitu sekurang-kurang kadar yang wajib dalam hukuman hadd peminum arak, ataupun menambah kadar sebatan tersebut sehingga 80 kali sebagai ta‘zir sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina ‘Umar r.a. mengikut maslahat jika dirasakan perlu oleh imam ataupun hakim.

    Perkara hukuman hadd sebatan bagi peminum arak ini ada diperuntukkan dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah, 2013, bab: 104 (1) yang telah diwartakan pada 22 Oktober 2013 Masehi bersamaan dengan 16 Zulhijjah 1434 Hijrah, seperti berikut: “Mana-mana orang Islam yang meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman hadd dengan disebat 40 sebatan bagi kesalahan pertama, disebat 80 sebatan bagi kesalahan kedua dan disebat 80 sebatan serta dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun bagi kesalahan ketiga dan berikutnya”.

    Bagaimanapun, hukuman hadd ke atas peminum arak tidak akan dilaksanakan kecuali jika ianya dibuktikan atau disabitkan sama ada dengan:

    Iqrar tertuduh, iaitu pengakuan peminum itu sendiri bahawa dia telah melakukan kesalahan meminum arak.

    Syahadah iaitu dengan cara penyaksian oleh tidak kurang daripada dua orang syahid atau saksi menurut hukum syara‘.

    Adakah semua peminum arak dikenakan hukuman Hadd?

    Undang-Undang Allah sangat adil lagi sempurna serta tidak ada cacat celanya kerana ia diatur dan dicipta sendiri oleh Allah, Tuhan Pentadbir Seluruh Alam. Antara bukti keadilan dan kesempurnaan Undang-Undang Allah itu ialah syarak tidak sekali-kali membenarkan mana-mana hukuman dijalankan dengan sewenang-wenangnya. Begitu juga halnya dalam perkara minum arak. Bukan setiap orang yang didakwa atau ditangkap minum arak sahaja, dia akan terus dijatuhkan hukuman sebat. Undang-Undang Allah bukanlah begitu, Undang-Undang Allah sangat teliti dan kemas. Terdapat sukat-sukat yang digariskan terhadap orang yang minum arak itu yang akan menjadi pengukur dan penentu sama ada hukuman hadd boleh dijatuhkan ke atasnya ataupun tidak.

    Peminum arak yang akan dikenakan hukuman hadd setelah pensabitan, mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

    Beragama Islam

    Jadi orang bukan Islam, kalau dia minum arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.

    Baligh

    Oleh itu, kanak-kanak yang belum baligh, kalau dia minum arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.

    Mempunyai akal yang sempurna

    Orang gila yang tidak sempurna akalnya, kalau dia minum arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.

    Minum dengan rela hati tanpa dipaksa

    Orang yang terpaksa minum arak kerana takut dibunuh atau dicederakan dan sebagainya, kalau dia minum, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.

    Bukan kerana terdesak untuk melepaskan benda yang terlekat atau tersekat di tekaknya.

    Orang yang minum arak umpamanya kerana terdesak hendak melepaskan makanan yang tersangkut ditekaknya, dan pada masa itu tidak ada yang lain selain daripada arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.

    Tahu bahawa yang diminumnya itu adalah arak

    Jika orang yang minum arak itu tidak tahu bahawa yang diminumnya itu adalah arak atau minuman yang memabukkan, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.

    Tahu dan maklum bahawa hukum minum arak itu adalah haram

    Jika orang yang minum arak itu jahil akan keharaman arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.

    Kesemua syarat di atas mestilah ada pada peminum arak, barulah kes tersebut dapat diangkat kepada Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah. Jika satu sahaja syarat tersebut tidak ada, maka dengan sendirinya tidaklah dapat dilaksanakan hukuman hadd terhadap si peminum arak itu.

    Demikian beberapa penerangan tentang hukuman dan syarat-syarat yang perlu ada bagi peminum arak yang wajib dikenakan hukuman hadd sebatan ke atasnya.

    Nyata sekali bahawa undang-undang Allah itu sangat adil, teliti lagi sempurna. Ini kerana ia adalah undang-undang yang dicipta dan digubal sendiri oleh Tuhan Pencipta dan Pentadbir Seluruh Alam. Siapakah lagi yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusia selain Dia?

    Dengan berkat keikhlasan kita menjalankan perintahNya serta kepercayaan mutlak atas kebijaksanaan-Nya, kita sangat yakin bahawa dengan penguatkuasaan hukuman hadd ini, dengan izin Allah, Negara Brunei Darussalam akan menjadi negara yang bebas arak selama-lamanya.

    Dengannya juga, mudah-mudahan turun dan terbuka berkat dan rahmat dari langit dan dari bumi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda