ALGIERS, 21 MEI – Pempelbagaian merupakan langkah penting untuk mengukuhkan keteguhan ekonomi negara-negara Islam serta menggalakkan sara diri dan kestabilan ekonomi jangka panjang, kata Pengerusi Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB), Muhammed Al Jasser kelmarin.
Bercakap pada mesyuarat tahunan IsDB di bandar Algeria, Algiers, Muhammed Al Jasser berkata ketegangan global berkaitan tarif baru-baru ini boleh memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara anggota IsDB dan perkembangan global sedemikian menjadikannya penting untuk mempercepat integrasi ekonomi, membuka akses kepada pasaran alternatif yang berpotensi serta menggalakkan perdagangan dalam kalangan negara anggota.
Mesyuarat selama empat hari itu bermula Isnin dan menghimpunkan gabenor bank dari 57 negara anggota, pegawai, pakar, ahli akademik dan wakil sektor swasta di bawah tema utama Diversifying Economies, Enriching Lives.
“Dalam landskap global yang semakin kompleks di mana krisis saling berkaitan, ekonomi dunia hari ini berdepan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini, antaranya ketegangan geopolitik yang memuncak, perpecahan ekonomi yang semakin teruk dan kesan perubahan iklim,” kata Al Jasser menurut agensi Anadolu.
Beliau berkata faktor itu dan faktor-faktor lain telah menyebabkan kelembapan pertumbuhan global kepada 3.3 peratus pada 2024.
Namun, peratus tersebut dijangka akan menurun lagi kepada 2.8 peratus pada 2025, berdasarkan laporan terbaharu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). – Bernama
