NEW YORK, 6 OGOS – Seorang pempengaruh dalam talian popular yang telah menarik orang ramai untuk berkumpul di dataran Manhattan dengan janji memberi hadiah konsol permainan, hanya menyaksikan acara itu bertukar menjadi huru-hara, telah didakwa kerana cetus rusuhan, kata polis New York, kelmarin.
Pempengaruh yang didakwa itu, Kai Cenat 21, menarik perhatian orang ramai pada malam Jumaat dengan janji bahawa dia akan memberikan konsol PlayStation 5 dengan percuma.
Berita tentang acara itu menjadi tular dan ribuan belia hadir di Union Square Bandar New York, melemparkan botol dan sampah ke arah polis serta melompat dan menari di atas kereta.
Dianggarkan 1,000 pegawai polis bertindak balas terhadap kekacauan itu, yang menyebabkan beberapa orang cedera.
Cenat juga didakwa menghasut rusuhan dan menganjur perhimpunan haram, kata jurucakap Jabatan Polis New York (NYPD) kepada AFP, dan empat orang lain turut didakwa melakukan jenayah. Seorang penduduk Bronx, Cenat sangat popular dalam talian, dengan 6.5 juta pengikut di laman penstriman permainan Twitch dan empat juta pengikut di YouTube.
Huru-hara pada Jumaat bermula dengan siaran Instagram, apabila Cenat menggesa peminat untuk bertemu dengannya di Union Square bagi acara penstriman langsung di mana dia akan memberikan konsol permainan. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P12-C_07082023.jpg)