Selasa, Julai 29, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pempengaruh dihukum penjara tujuh tahun di Myanmar

    JAKARTA, 3 JULAI – Seorang pempengaruh Indonesia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana bertemu dengan pemberontak di Myanmar yang diperintah junta, kata seorang pegawai Kementerian Luar di Jakarta kelmarin.

    Myanmar telah dibelenggu perang saudara sejak tentera merampas kuasa pada 2021, dengan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut angka Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Pempengaruh media sosial Indonesia, yang dikenal pasti oleh pegawai sebagai berusia 33 tahun dengan nama awal A.P., telah ditangkap oleh pihak berkuasa Myanmar Disember lalu.

    “Selepas melalui proses mahkamah, A.P. dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun,” kata Pengarah Perlindungan Warga di Kementerian Luar Indonesia, Judha Nugraha.

    “Warga Indonesia itu dituduh memasuki Myanmar secara haram dan kemudian bertemu dengan kumpulan bersenjata yang dikategorikan sebagai pertubuhan terlarang”, kata Judha.

    Gambar Envato

    Mahkamah Myanmar mendakwanya kerana melanggar undang-undang mengenai keganasan, imigresen dan hubungan yang tidak dibenarkan, ketika junta bertempur dengan pemberontak dalam perang yang sengit.

    Lelaki warga Indonesia itu kini ditahan di Penjara Insein di Yangon, ibu kota ekonomi Myanmar.

    Pegawai kementerian itu berkata,Jakarta menyediakan permohonan bagi pengampunan yang dikemukakan oleh keluarga.

    Di akaun media sosial yang dilaporkan oleh media tempatan sebagai milik pempengaruh itu, menunjukkan seorang lelaki yang sedang bersiar-siar melalui zon konflik – termasuk Ukraine dan Afghanistan yang dilanda perang – serta menginap di hotel mewah di Bali dan Paris.

    Dalam catatan Instagram bertarikh November 2024, dia berkongsi gambar dari pelbagai lokasi di Myanmar dan dengan pelbagai kumpulan yang tergolong dalam penentangan antirampasan kuasa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda