KUALA LUMPUR, 4 FEB – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan pempengaruh untuk mengawal secara kendiri dan berhati-hati apabila mengendalikan podcast atau memuat naik kandungan di media sosial supaya tidak memberikan kesan kepada
masyarakat.
Beliau berkata kerajaan juga akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa serta meneliti sebarang tindakan sekiranya perlu terhadap mereka yang membuat kandungan kurang membina.
“Waktu ini kita belum lagi melihat ada keperluan (untuk tindakan). Saya setuju dengan
saudara Khairy Jamaluddin, kepada pempengaruh perlu faham apa kuasa pengaruh kita.
“Kita harap industri dapat kawal secara kendiri tetapi sekiranya keadaan bertambah serius kita perlu meneliti tindakan yang perlu diambil,” katanya selepas melancarkan Youth Empowerment Fair (YEF2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Fahmi mengulas mengenai tindakan segelintir pempengaruh yang membuat kandungan kurang membina sehingga boleh menjejaskan masyarakat.
Sebelum ini penyampai radio Hot FM yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihatkan pengendali podcast untuk peka isu sensitif dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai topik yang ingin dibincangkan.
Fahmi turut meminta ibu bapa untuk memantau kandungan media sosial yang diperoleh oleh anak-anak agar tidak terpengaruh.
“Di kawasan saya Lembah Pantai, saya minta guru-guru besar, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) untuk menyampaikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak sekolah rendah untuk berhati-hati dengan apa yang mereka peroleh daripada media sosial termasuk podcast dan platform TikTok supaya tidak terpengaruh.
“Insya-Allah, kita akan selaraskan beberapa tindakan kerjasama yang boleh diusahakan sekali dengan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkaitan pelaksanaan jawatankuasa teknikal melibatkan isu keselamatan dalam talian, terutama dalam kalangan kanak-kanak. – Bernama