Pemuda Indonesia reka telefon kentang

JAWA, 9 JULAI – Gara-gara sering menggunakan telefon kurang canggih yang dikenali di Indonesia sebagai telefon kentang, seorang pemuda dari Mangelang, Indonesia, Khoirul Aman mencipta sebuah ‘telefon’ dari sebiji ubi kentang besar.

Menurut laporan Kompas, Khoirul Aman yang lebih mesra dipanggil Anam, mencipta telefon bimbit model seakan Nokia 3310 dan memuat naik beberapa gambar cara pembuatan telefon daripada kentang itu ke laman Facebooknya. Dia menjelaskan, pembuatan telefon itu hanya mengambil masa 10 minit dan ia hanyalah sebagai gurauan dan sindiran sahaja kepada rakan-rakannya.

“Saya sering berkumpul bersama rakan dan apabila mahu muat turun game, tidak boleh kerana telefon saya tidak canggih dan rakan selalu menyindir, mengatakan ‘telefon kentang.’

“Maka saya nekad membuat telefon yang mempunyai beberapa komponen seperti LCD, bateri, papan kekunci dari telefon Nokia 3310,” katanya. Pembuatan telefon kentang itu tidak mengambil masa yang lama, namun dia sukar mencari kentang bersaiz besar.

Anam turut menyatakan hasrat untuk mencari buah epal besar dan mencipta telefon menyerupai jenama telefon pintar terkenal, daripadanya. – Agensi

Gambar cara-cara pembuatan telefon kentang oleh Anam dan dimuatnaik di Facebooknya, tular di media sosial. – Agensi