KENINGAU, 16 April – Seorang pemuda berumur 21 tahun maut sementara dua lagi cedera apabila pacuan empat roda jenis D-Max mereka terbabas di bahu jalan di Kampung Salir, Sook, kira-kira 40 kilometer dari pekan Keningau awal pagi tadi.
Dalam kenyataan bomba dan penyelamat, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Keningau menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3:12 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 45 minit kemudian.
Bagaimanapun setiba di tempat kejadian, seorang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam, tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan ambulans yang turut berada di lokasi kejadian.
Mangsa tersebut, yang dikenal pasti sebagai Jeaffrey Junior Jomilus, dibawa ke Hospital Daerah Keningau untuk bedah siasat.
Yang cedera ringan merupakan adik lelaki mangsa Jearysarmindo Junior, 18 dan rakan mereka Rizwan Johari, 25. – Bernama