KUANTAN, 9 JAN – Seorang pemuda Orang Asli maut disondol babi hutan ketika berburu di kawasan Ladang Sawit Lombong Selinsing, Sungai Koyan, Lipis, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Ismail Man berkata kejadian berlaku kira-kira 1 petang ketika mangsa, Johan Yok Boi, 24, dari Pos Sinderut sedang berburu bersama empat rakannya.
“Mangsa telah mendekati seekor babi hutan dan melontarkan lembing ke arah haiwan itu.
“Bagaimanapun lembing itu tersasar, menyebabkan babi hutan berkenaan mengamuk dan mengejar mangsa yang cuba menyelamatkan diri dengan memanjat pokok sawit berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudian terjatuh dari pokok dan menyebabkannya diserang bertubi-tubi oleh haiwan itu hingga cedera parah pada bahagian paha.
Ismail berkata mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan oleh rakannya sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lipis, bagaimanapun, disahkan meninggal dunia pada 5:55 petang.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut akibat serangan haiwan liar. – Bernama