SEPANG, 9 FEB – Akibat terpengaruh dengan iklan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan sehingga RM7,000 di sebuah kasino di Bangkok, seorang pemuda dari Rawang didera dan dipaksa menjadi scammer atau penipu wang pelaburan kripto suatu sindiket beroperasi di Myawaddy, Myanmar.
Ah Chong (bukan nama sebenar) berkata beliau hanya mampu bertahan tiga hari di Myanmar dan memohon untuk kembali ke Malaysia namun tidak dibenarkan selagi tidak membayar wang tebusan.
“Saya difahamkan kerja kasino itu di Bangkok. Selepas sampai di sana, saya dibawa ke lokasi lain menerusi laluan tikus dan selepas itu baru saya sedar telah dipergunakan oleh sindiket itu dan minta balik Malaysia namun tidak dibenarkan.
“Sindiket itu juga meminta wang tebusan sehingga RM80,000 untuk melepaskan saya dan akhirnya anggota keluarga bayar RM30,000 untuk saya keluar. Bersama-sama saya ada lebih 80 mangsa yang juga rakyat Malaysia yang terperangkap dan dipaksa menjadi scammer,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.
Ah Chong merupakan antara 10 mangsa sindiket wang pelaburan kripto di Myawaddy yang tiba dari Bangkok selepas diselamatkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Wakil MHO, Azirul Syafiq Sazali yang mengendalikan usaha menyelamatkan kesemua mangsa berkata terdapat tiga situasi yang membolehkan mereka diselamatkan antaranya terdapat mangsa yang melarikan diri dengan kenderaan sindiket.
“Ada yang melarikan diri dengan dibantu rakan yang membawa mereka menyeberangi masuk ke Mae Sot (Thailand) dan menyerah diri kepada pihak berkuasa Thailand untuk proses dokumentasi seterusnya,” katanya. – Bernama


